KUALA LUMPUR, 25 Mei – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan segera berhubung insiden dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya bertembung berdekatan Stesen LRT KLCC, malam tadi.
Ahmad Zahid berkata, beliau berharap mangsa yang terlibat tidak mengalami kecederaan serius selain mendapat rawatan sewajarnya.
“Subhanallah, Allahuakbar. Malam ini (tadi) berlegar di media sosial mengenai kejadian dua tren LRT bagi laluan Kelana Jaya yang terbabit kemalangan.
“Berdasarkan video yang ditularkan kita dapat menyaksikan ramai penumpang yang tercedera. Saya harapkan doa rakan-rakan semua supaya tidak berlaku kecederaan serius kepada penumpang yang terlibat,” katanya menerusi Facebook.
Ahmad Zahid berkata, beliau berharap kejadian seumpama itu tidak lagi berulang serta meminta semua rakyat Malaysia mendoakan kesembuhan kepada mangsa terbabit.
“Saya mengajak seluruh sahabat-sahabat alam maya dan seluruh rakyat Malaysia, bersama-sama kita mendoakan keselamatan semua penumpang dan dipermudahkan segala usaha menyelamatkan mangsa yang terlibat,” katanya.