KUALA LUMPUR, 26 Mei – Dari sehari ke sehari semakin meningkat jumlah yang terkorban dan terjangkit serta wabak ini nampaknya semakin menggila, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Pesannya kepada seluruh sahabat handai, rakan taulan serta seluruh rakyat Malaysia, di bahu semua sekarang terbeban tanggungjawab memerangi virus durjana ini.
“Kerajaan telah sedaya upaya melakukan yang termampu dalam segala kelebihan dan kekurangan yang ada.
“Sekarang kita mesti melakukan ikhtiar kita, dalam kudrat dan kemampuan kita untuk mengelakkan diri dari terjangkit dan akhirnya menjangkiti orang lain.
“Masanya telah tiba untuk kita sebagai masyarakat, menggemblengkan iltizam untuk menyelamatkan tanah air ini dari terus dikalahkan oleh virus jahat ini,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.
Ulas Khaled juga, beberapa minggu kebelakangan ini ramai sahabatnya telah kembali ke rahmatullah kerana komplikasi COVID-19.
“Saya berasa amat terkesan kerana tidak dapat menziarahi mereka di kala sakit apa lagi bila meninggal dunia. Sukar dibayangkan betapa dalam nestapa keluarga mereka, kita hanya mampu menitip doa dari kejauhan,” katanya.
Khaled turut menyarankan kepada rakyat agar terus mengikut nasihat yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kendiri dan lakukannya dengan bersungguh-sunggguh.
“Kemudian daftar dan hadirlah untuk vaksinasi. Kita mesti yakin dengan sains dan kita mesti percaya kepada data penyelidikan.
“Dan akhirnya bertawakallah kita kepada Yang Maha Pencipta, Allah SWT, Tuhan Yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa,” katanya.
Ulasnya lagi, tanah air ini dan segala penduduknya sedang dalam kegetiran yang sangat luar biasa.
“Kita mesti menyelamatkan Malaysia dari terus terbeban dengan malapetaka yang lebih buruk.
“Ya Allah, dari Engkau kami datang dan kepada Engkau jua satu-satuNya kami memohon pertolongan,” pintanya. – UMNO ONLINE