KUALA LUMPUR, 1 Jun – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sering kali diungkapkan UMNO bukan sekadar sebuah wadah politik malah ia adalah sebuah perjuangan.
Katanya, UMNO sebuah perjuangan agama dan bangsa serta lambang perpaduan dan kemakmuran negara.
“Alhamdulillah ungkapan ini tidak akan pernah padam. Berterusan di setiap tempat dan di setiap waktu.
“UMNO jua sebuah legasi milik rakyat dari generasi ke generasi zaman berzaman. Maka berbanggalah mereka yang mewarisi wacana perjuangan UMNO lagi ikhlas dan murni.
“Insya-Allah dengan izin dan inayahNya paksi perjuangan UMNO ini tidak sesekali pudar,” katanya dalam satu catatan di platform media sosialnya.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga mengajak semua menyaksikan sejarah perjuangan UMNO yang telah berdepan dengan pelbagai persimpangan berliku.
“Namun tidak pernah tersilap memilih haluan sementelahan kesatuan para pendokongnya.
“Kesepakatan ahli dan pemimpin tonggak kekuatan menempuh arus, mendepani cabaran.
“Justeru jangan goyah, jangan berkurangan semangat UMNO. Kita pertahankan, kita perhebat bersama,” serunya lagi.
Tambahnya juga, UMNO tetap dulu, kini dah selamanya sebagai parti keramat agama, bangsa dan negara ini. – UMNO ONLINE