KUALA LUMPUR, 17 Jun – Cadangan untuk kerajaan menetapkan tarikh tutup pendaftaran vaksin COVID-19 bagi menimbulkan ‘rasa terdesak’ rakyat untuk mengambil suntikan merupakan idea yang tidak bertanggungjawab, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Jelasnya, sepanjang berkecimpung dalam dunia politik dan pentadbiran kerajaan, beliau tidak pernah mendengar cadangan seburuk itu.
“Sebenarnya saya kurang berminat ambil berat kenyataan-kenyataan yang mengarut dan menyimpang seperti ini. Langsung tidak membantu.
“Tetapi apabila difikirkan semula kena tegur juga sebab boleh mengelirukan. Secara umum ia suatu cadangan yang dangkal, lemah, malas, tidak berhemah, tidak berpaksikan fakta malah melanggar prinsip perubatan dan kemanusiaan,” kata beliau menerusi satu hantaran di Facebook.
Ahmad Zahid menambah perkara yang paling membimbangkan apabila ia dicadangkan oleh ketua penerangan sebuah parti politik yang sedang mendominasi pentadbiran kerajaan persekutuan.
“Cadangan itu juga seolah-olah satu lagi cubaan berterusan untuk menyalahkan rakyat di sebalik kadar jangkitan COVID-19 yang sangat tinggi di Malaysia.
“Realitinya adalah hampir 15 juta rakyat Malaysia telah pun mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19.
Isunya adalah seperti yang pernah saya katakan dalam ‘posting’ sebelum ini iaitu kelewatan proses pemberian vaksin.
“Setakat 16 Jun lalu hanya 3.6 juta rakyat Malaysia telah menerima dos pertama, manakala cuma 1.4 juta melengkapkan dos kedua,” ujar beliau.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut mempersoal apakah akan berlaku kepada rakyat yang masih belum mendaftar selepas tamat tempoh dicadangkan.
“Adakah mereka akan dikenakan hukuman tidak akan diberikan suntikan itu untuk selama-lamanya? Entah apa yang bermain dalam benak fikirannya?
“Sepatutnya haruslah berusaha mencari jalan untuk terus meyakinkan mereka yang masih belum mendaftar untuk mendaftar dengan segera, bukan memaksa.
“Seperti apa yang kita dalam BN buat, tambah kekuatan jentera untuk membantu masyarakat mendaftar vaksin dengan segera,” tegas beliau. – UMNO Online