KUALA LUMPUR, 21 Jun – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata UMNO sebagai parti yang mendukung sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi Berparlimen tidak boleh menerima dolak-dalih Kerajaan dalam hal membuka persidangan Parlimen.
Jadi katanya, tentunya apabila tindakan Kerajaan seakan masih tidak mengendahkan titah SPB YDPA dan kenyataan Raja-raja Melayu, UMNO tidak mampu berdiam diri.
“Sidang Parlimen segera digesa bagi mengembalikan peranan wakil yang dipilih oleh rakyat untuk melaksanakan tugas semak dan imbang dalam pengurusan pandemik dan ekonomi negara yang kritikal pada ketika ini.
“Apatah lagi, umum mengetahui aturan urusan mesyuarat (persidangan) adalah dibawah kawal selia Kerajaan. Jadi tiada sebab untuk takut berhadapan dengan soalan atau perbahasan wakil rakyat,” katanya dalam maklumbalas berhubung kenyataan rasmi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pagi tadi.
Ujar Shahril, sebarang tindakan khusus UMNO andaikata tiada respon memuaskan dari Kerajaan terhadap gesaan ini, akan diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi seperti tuntutan organisasi dan selari dengan mandat dari PAU.
“Jika timbul kenaikan suhu politik mahupun krisis Perlembagaan, ia adalah berpunca dari pendirian kepimpinan Kerajaan yang berkeras.”
Terdahulu, Ahmad Zahid dalam satu kenyataan media berkata, UMNO berpendirian tegas mendesak Kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah agar memanggil Sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kenyataan terbabit, malah kegagalan dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati Institusi Raja-Raja Pemerintah.
Pada 16 Jun, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat. – UMNO Online