KUALA LUMPUR, 26 Jun – Rakyat jelata mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu kerana menitahkan kerajaan supaya membantu rakyat baru-baru ini, demikian menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Tambah Ahmad Zahid lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, jika tidak hampir mustahil rakyat dapat moratorium automatik apatah pengeluaran wang KWSP.
“Jika tidak mustahil bantuan yang diumumkan kepada peniaga selepas 7 minggu PKP direalisasi. Tahniah juga buat rakyat dan pimpinan UMNO yang konsisten mendesak perkara sama. Kerajaan PN kata mereka yang mula-mula mencadangkan pelaksanaan program i-Lestari, i-Sinar dan moratorium automatik tidak mengapa.
“Tetapi ternyata pelbagai kenyataan kerajaan tentang moratorium dan pengeluaran wang KWSP sebelum ini kurang tepat,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Katanya lagi kenyataan yang mahu menidakkan seperti kata Menteri Kewangan kerajaan tidak boleh mengarahkan bank beri moratorium pukal.
“Seperti kata Gabenor Bank Negara Malaysia moratorium pinjaman automatik bukan penyelesaian terbaik. Maka moratorium menyeluruh automatik tidak akan dilaksanakan semula meskipun kerajaan melaksanakan PKP 3.0.
“Seperti juga kata Perdana Menteri “we don’t have much money left”. Negara tidak banyak wang lagi yang tinggal. Tapi hari ini kerajaan kata Alhamdulillah ia memberi kesan positif dan amat membantu aliran tunai rakyat pula. Tidak mengapa sekali lagi. Yang penting rakyat dapat moratorium automatik dan pengeluaran wang KWSP mereka sendiri,” tambahnya.
Tambah Ahmad Zahid lagi, jadikan iaanya sebagai satu sejarah yang akan diingati sampai PRU-15 dan yang baik jadikan teladan, kurang baik jadikan sempadan.
“Tetapi ada pandangan bukankah lebih wajar pengeluaran wang KWSP sebanyak RM5,000 turut ditawarkan secara “one-off”. Ini kerana telah beberapa bulan sejak rakyat menderita tiada pendapatan dan sebagainya.
“Pasti mereka memerlukan sejumlah wang untuk ‘pulih’ secepat mungkin. Setiap keperluan isi rumah berbeza-beza. Dan bukankah amat ‘afdal’ pengeluaran skim i-Citra lebih awal berbanding hanya diterima pada Ogos iaitu lebih sebulan lagi.
“Manakala moratorium pinjaman bagi usahawan kecil dan sederhana difahamkan bukan secara automatik. Tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank. Harap mereka juga layak mendapat moratorium automatik.
“Kita bimbang timbul kerenah birokrasi dalam kelulusan sedangkan jumlah pinjaman mereka jauh lebih besar berbanding pinjaman individu. Namun seperti yang ditegaskan apa yang diumumkan itu tidak menafikan keperluan untuk Parlimen bersidang segera.
“Tidak juga mengenepikan keperluan melaksanakan “total lockdown” yang “total” supaya kadar jangkitan Covid-19 dapat diturunkan segera,” ujarnya.
Ujarnya lagi pandemik COVID -19 bukan sesuatu yang boleh diakhiri segera dengan pemberian moratorium automatik dan pengeluaran wang KWSP.
“Banyak lagi perkara berkait kepentingan rakyat dan negara perlu diperbincang dan diperbahaskan di Dewan Rakyat. Bersyukurlah kepada Allah SWT, dan berterima kasihlah kepada yang memberi dan menguruskannya,” tambahnya.- UMNO Online