KUALA LUMPUR, 8 Julai – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata UMNO mesti senafas dengan kesusahan rakyat, bukan kuasa serta kedudukan malah ftrah UMNO adalah parti untuk orang kebanyakan serta biasa-biasa, maka untuk merekalah UMNO harus bersuara dan berjuang.
Menurut beliau parti itu tidak pernah diasaskan demi kepentingan lain kecuali memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia, memuliakan Islam, memelihara kehormatan institusi raja serta membangunkan negara.
“Pendirian ini akan terus menjadi pendirian UMNO dan sebagai parti politik, kejelasan sebuah pendirian sangat penting kerana tanpa pendirian, UMNO jadi hanya sebuah parti terdaftar, bukan sebuah perjuangan.
“Justeru dalam keadaan negara yang sangat meleset, UMNO wajar tampil dengan sebuah pendirian. Membiarkan kemelesetan negara ini menerus, laksana UMNO merestuinya. Pendirian UMNO mesti berpaksikan aspirasi rakyat, demi rakyat dan untuk rakyat.
“Bila sistem kesihatan semakin parah, ekonomi merudum dan memburuk, kemiskinan meningkat, mereka yang membunuh diri semakin banyak, kelaparan telah menjadi nyata, bendera putih, hitam dan segala warna telah dikibarkan, demokrasi diselewengkan, malah institusi Raja di sanggah dengan tiada susila, UMNO tidak boleh menjadi sebahagian dari kemelesetan ini,” katanya menerusi catatan di Facebok.
Mohamad seterusnya menegaskan UMNO tidak akan tergelincir dari keutamaan rakyat, negara dan parti malah ia pasti selari dengan keputusan perwakilan perhimpunan agung.
“Kepada semua ahli UMNO, walau dipelusuk desa dan perbatasan nan terpencil, atau di pulau paling jauh, mahupun di kota dan bandar seluruh negara, yakinlah, pendirian kepimpinan UMNO tidak akan tergelincir dari keutamaan rakyat, negara dan parti.
“Tiada individu lebih besar dari UMNO. Tiada tokoh lebih penting dari parti dan rakyat. Tiada kuasa lebih besar dari kuasa rakyat. Tiada perjuangan lebih bererti dari perjuangan untuk rakyat yang marhain dan yang terjejas.
“Insha Allah, UMNO telah ada sebuah pendirian dan jalan kehadapan. Semoga jalan dan pendirian yang direncanakan ini adalah sebaiknya jalan dan pendirian untuk rakyat, tanahair dan parti kita UMNO. Kepada ahli dan rakyat, UMNO sandarkan masa depannya, insha Allah,” ujarnya.
UMNO semalam menerusi satu keputusan yang diputuskan selepas Mesyuarat MKT menarik sokongan serta merta terhadap Tan Sri Muhyiddin selaku Perdana Menteri.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media secara maya menyatakan kegagalan Kerajaan memenuhi aspirasi rakyat menyebabkan UMNO menarik balik dan menamatkan sokongan serta-merta kepada Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin selaku Perdana Menteri.
Justeru, UMNO mendesak agar Muhyiddin dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad.- UMNO Online