KUALA LUMPUR, 14 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berpandangan perkembangan terkini pandemik COVID-19 menuntut kepada keperluan untuk melihat semula strategi dan strategi baharu yang lebih bersesuaian serta berkesan.
Menurut beliau baru-baru ini Ketua Pengurusan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Brigedier Jeneral Dr. Mohd Arshil Moideen, mendedahkan bahawa ketiadaan koordinasi dan perancangan bersepadu adalah antara punca negara tidak dapat menguruskan pandemik COVID-19 dengan berkesan.
Jadi tambahnya tidak hairanlah, semalam (13 Julai) sahaja negara mencatatkan 11 079 kes harian baharu, malah bukan sahaja kes baharu sudah mencecah 5 angka sehari tetapi jika diperhalusi, ini bermakna, dalam tempoh 24 jam lepas seramai purata 7.6 orang rakyat disahkan positif COVID-19 bagi setiap minit dan lebih pening dan penting, semua ini berlaku dalam tempoh Darurat serta total lockdown yang menyaksikan rakyat di semua negeri dikurung di rumah.
“Kesemua ini menuntut kita untuk menilai semula strategi semasa dan keperluan untuk hadir dengan strategi baharu yang lebih bersesuaian dan berkesan. Misalnya, meletakkan sains sebagai asas utama kepada keputusan dan ketetapan yang dibuat.
“Kalau keputusan kita sememangnya berasaskan sains kita akan melihat beberapa perkara yang berbeza. Antaranya, perbezaan prosedur atau kelonggaran kepada mereka yang sudah menerima suntikan 1 dos, lengkap 2 dos, mereka yang sedang menunggu suntikan dan mereka yang langsung tidak mendaftar untuk vaksinasi.
“Sudah tentulah setiap satu kelompok ini mempunyai risiko dan tahap kebolehjangkitan dan imunisasi yang berbeza. Dalam hal ini kita boleh hadir dengan ketetapan seperti mengenakan syarat kuarantin di rumah kepada mereka yang sudah mempunyai 2 dos lengkap apabila pulang dari luar negara berbanding kuarantin 14 hari di pusat khas yang dikenakan secara pukul rata kepada semua kelompok,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Kata Khaled lagi, selain mengurangkan kepadatan pusat kuarantin, yang demikian akan memberikan beberapa mesej jelas secara tidak langsung. Antaranya:
a. Bahawa keputusan dan ketetapan yang kita lakukan adalah bersandarkan sains dan garis panduan perubatan.
b. Bahawa kerajaan memberi insentif yang sewajarnya sekali gus meyakinkan lebih ramai masyarakat untuk terus mendaftar dan mendapatkan vaksin.
c. Membolehkan ekonomi bernafas beransur-ansur tanpa perlu menunggu hanya selepas 70%-80% populasi divaksin dan mencapai imuniti berkelompok untuk kembali beroperasi.
“Pada masa yang sama, masyarakat akan lebih jelas dengan cara kerajaan membuat keputusan. Bahawa ia bersandarkan sains dan garis panduan perubatan. Bukan tahap atau status ekonomi, jawatan dan pengaruh atau pertimbangan-pertimbangan lain yang kabur dan tidak adil,” ujarnya.
Ujar beliau lagi perancangan mesti dilakukan untuk mengembalikan kehidupan dan operasi ekonomi dengan teliti dan berhati-hati.
“Pendekatan melihat jumlah kes positif harian semata-mata tidak mencukupi malah rakyat tidak boleh selama-lamanya dikurung dan disekat tanpa sebarang perancangan jangka panjang yang jelas dan strategik. Benarlah. Jika kita gagal merancang, kita merancang kegagalan,” ujarnya.- UMNO Online