KUALA LUMPUR, 22 Julai – Presiden UMNO Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi menjawab propaganda yang kerap ditujukan kepada beliau dan juga UMNO yang kononnya hanya mengkritik tetapi gagal beri pandangan yang dapat membantu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula.
Katanya, ianya tidak benar pimpinan UMNO hanya tahu mengkritik saja namun tidak beri cadangan untuk membendung COVID- 19 dan UMNO memberi pencerahan yang konsisten kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Jelasnya, berbagai pandangan telah diberikan bagaimana hendak menangani penularan COVID -19, namun pada masa sama dapat menjaga rakyat.
“PKP 2.0 dikuatkuasa bermula 13 Januari selepas jangkitan harian cecah 3,027 kes. Namun sangat longgar pasti gagal kurangkan kes maka kita cadang ‘total lockdown’ dilaksanakan. Kita minta ‘total lockdown’ tetapi bantuan mesti diberi kepada rakyat untuk bertahan.
“Antaranya bantuan tunai, moratorium pinjaman dan pengeluaran wang akaun KWSP kali kedua. Kesemua cadangan itu tidak dilayan dengan begitu banyak alasan dan teori dan pada 28 Jun Kerajaan PN akhirnya umum moratorium pinjaman dan skim i-Citra.
“Akhirnya kerajaan PN mengumumkan ‘total lockdown’ mulai 1 Jun kerana jangkitan telah cecah 8,000 kes sehari. Bagaimanapun ‘total lockdown’ bukanlah ‘total lockdown’ dalam erti kata yang sebenar, ianya bersifat separuh masak dan masih gagal untuk mengurangkan kes jangkitan. Tidak timbul isu pimpinan UMNO hanya tahu kritik, tetapi tidak beri cadangan. Isu yang sebenar adalah tentang kisah sesebuah kegagalan dalam menguruskan pandemik,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, namun rakyat semakin menderita kerana kurang dibantu apabila sebahagian sektor ekonomi ditutup.
“Kita minta lebih banyak bantuan untuk rakyat dan suntikan vaksin dipercepatkan. Maka kita terus mencadangkan pelaksanaan ‘total lockdown’ yang sebenar. Bagaimanapun ‘total lockdown’ tetap tidak dilaksanakan.
Dalam pada itu, pimpinan UMNO berpendapat program vaksinasi perlu dipercepatkan sedangkan kes jangkitan harian telah cecah lima angka atau sekitar 12,000 kes sehari.
“Kita minta lebih banyak bantuan untuk rakyat dan suntikan vaksin dipercepatkan. Saya minta kelonggaran diteliti kerana KKM kata mereka ini masih boleh dijangkiti dan menjangkiti.
“Jika jujur mahu rakyat segera diberi kelonggaran maka imunisasi kelompok perlu dipercepatkan. Pada 17 Julai kerajaan PN umum mahu beri kelonggaran kepada yang telah terima dua dos suntikan.
“Semoga semuanya dalam lindungan Yang Maha Esa dan dijauhi daripada wabak COVID-19. Syukur Alhamdulillah sudah masuk hari ketiga kita menyambut Hari Raya Aidiladha,” ujarnya. – UMNO Online