KUALA LUMPUR, 30 Julai – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya rakyat bertambah keliru apabila membaca kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) petang semalam.
Kata Ahmad Zahid dalam satu perkongsian di Facebook, sebelum kenyataan itu dikeluarkan, media melaporkan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun terlebih dahulu datang ke kediaman Perdana Menteri di Bukit Damansara, di sini.
“PMO dalam kenyataan itu cuba menjustifikasi tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang jelas telah menimbulkan kemurkaan Yang di-Pertuan Agong.
“Nasihat saya kepada semua jangan keliru-keliru sangat dengan kenyataan PMO itu. Nanti boleh bikin ‘stress’. Tenang-tenang saja,” ujar Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu.
Tambah Ahmad Zahid, rumusannya mudah sahaja untuk difahami iaitu semalam Yang di-Pertuan Agong bertitah dukacita dengan tindakan kerajaan mengumum pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Baginda.
“Yang di-Pertuan Agong dukacita apa yang dipersetujui dan diperkenan Baginda semasa Menteri dan Peguam Negara mengadap Baginda secara maya pada 24 Julai lalu tidak dilaksanakan.
“Iaitu Baginda bersetuju dan memperkenan pembatalan semua Ordinan Darurat perlu dibentang dan dibahaskan di Parlimen terlebih dahulu bagi tujuan diungkaikan.
“Tindakan membatalkan Ordinan Darurat tanpa pembentangan di Parlimen gagal menghormati prinsip undang-undang malah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda,” katanya.
Jelasnya Ahmad Zahid lagi, perkara 150(2B) dibaca dengan perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat terletak pada Seri Paduka Baginda.
“Kemudian PMO mengeluarkan kenyataan membayangkan Yang di-Pertuan Agong sepatutnya perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Kabinet.
“PMO memetik Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan Yang di-Pertuan Agong perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri.
“PMO kata kerajaan sudah menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan Ordinan Darurat sebelum sidang khas Parlimen bermula melalui surat pada 23 Julai 2021. Parlimen bersidang pada 26 Julai 2021,” katanya.
Justeru kata Ahmad Zahid, kesimpulannya berkemungkinan adalah Perdana Menteri mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong pada 23 Julai 2021 memohon perkenan batal Ordinan Darurat sebelum Parlimen bersidang.
“Pada 24 Julai 2021 Yang di-Pertuan Agong bertitah kepada Menteri dan Peguam Negara Ordinan Darurat tetap perlu dibentang dan dibahas di Parlimen terlebih dahulu bagi tujuan diungkaikan.
“Tetapi kerajaan tetap umum ia telah dibatalkan sebelum Parlimen bersidang dengan hujah Yang di-Pertuan Agong perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri,” katanya. – UMNO ONLINE