KUALA LUMPUR, 30 Julai – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Malaysia sedang berada dalam suatu krisis perlembagaan dan kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam tidak menjernihkan keadaan malah akan menjadikan ia semakin meruncing.
Menurutnya, wakil rakyat UMNO hanya mempunyai satu pilihan iaitu mendukung titah Seri Padukan Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan sepenuh jiwa dan raga.
“UMNO tidak akan dan tidak wajar terheret dalam konflik ini. Iltizam UMNO sedari awal penubuhannya, adalah antara lain mempertahankan institusi Raja. Apa jua tindakan yang tidak selari dengan iltizam tersebut adalah bertentangan dengan nilai, pendirian dan perjuangan UMNO.
“Jalan keluar dari semua ini ialah untuk UMNO mengusahakan penubuhan Kerajaan Interim. Meninggalkan Perikatan Nasional (PN) adalah lebih baik dan strategik dari membelakangkan kepentingan nasional dalam saat krisis ini. ‘UMNO cannot abandon the nation for Perikatan Nasional’,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsi di Facebooknya.
Jelasnya lagi, apatah lagi apabila wibawa kerajaan PN telah punah sepunah-punahnya.
“UMNO mesti menggunakan kesempatan ini untuk memberikan kepimpinan yang diharapkan demi sebuah negara yang sangat memerlukan.
“UMNO mesti menyelamatkan Malaysia dengan mengusahakan penubuhan Kerajaan Interim hanya dengan tiga mandat sahaja.
“Menguruskan ekonomi negara, menguruskan krisis kesihatan dan mentadbir negara demi menyediakan ia untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Kerajaan Interim ini terhenti bila PRU diadakan,” katanya.
Begitu juga katanya Parlimen mesti harus terus bersidang, kebebasan media dan media sosial dijamin, setiap keputusan dan perbelanjaan kerajaan mesti dibentangkan di Parlimen demi kepentingan semak dan imbang serta fungsi Perlembagaan mesti dipulihkan sepenuhnya.
“Saat UMNO terbelenggu dengan nafsu demi kuasa dan kedudukan dalam Kerajaan PN telah berakhir.
“Wakil rakyat UMNO mesti memilih. Bersama Raja dan rakyat atau bersama dengan Perdana Menteri dan PN,” tegasnya. – UMNO ONLINE