KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Selagi tidak ada pendekatan yang radikal untuk menutup semua sektor dalam tempoh 14 hari terutamanya sektor perkilangan yang menjadi penyumbang utama kepada penularan COVID-19, selagi itulah kita sukar untuk memutuskan rantaian virus, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Persoalannya, selagi tidak putus rantaian virus ini selagi itulah kes-kes akan terus meningkat, maka apa kesannya?
“Sistem perkhidmatan kesihatan kita runtuh (collapse). Frontliners di kalangan doktor, jururawat, petugas kesihatan lain juga ‘burnt-out’ atau kepenatan melampau dan tertekan. Peralatan bantuan pernafasan dan kemudahan ICU tidak mencukupi dan kes kematian akan terus meningkat.
“Untuk mempercepatkan proses vaksinasi pun akan mengambil masa beberapa bulan lagi. Dalam tempoh tersebut kita tidak boleh lagi berkompromi walau satu nyawa.
“Sedih mendengar saudara terdekat dan sahabat handai terpaksa ditidurkan (lumrahnya tiada lagi harapan) atau yang lebih menyedihkan doktor pula terpaksa pilih siapa yang hendak diutamakan untuk terus hidup kerana alat bantuan pernafasan tak cukup,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Tambah Dr Asyraf lagi, manfaatkan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) 2021 yang masih berjalan selagi tidak dimansuhkan di Parlimen untuk mengggunakan wang RM17 bilion yang ada bagi membantu menyalurkan bantuan tunai kepada semua golongan termasuk B40 dan M40 sepanjang penutupan penuh semua sektor tanpa berkecuali selama 14 hari.
“Bertindaklah sebelum keadaan menjadi semakin parah,” tegasnya. – UMNO Online