KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Seperti semua sedia maklum UMNO telah membuat ketetapan yang amat penting semalam, ujar Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, ketetapan yang dibuat adalah amat penting bagi melindungi kedaulatan Yang Di-Pertuan Agong dan institusi Diraja negara ini.
“Amat mustahak demi memelihara keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Iaitu keputusan menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas Perdana Menterinya enggan letak jawatan.
“Pokoknya UMNO sama sekali tidak dapat berkompromi dengan perbuatan kerajaan PN yang menderhaka. Sanggup membelakangi kuasa Seri Paduka Baginda dan menyanggah titah Majlis Raja-Raja Pemerintah,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam satu perkongsian di Facebook.
Ahmad Zahid juga menimbulkan persoalan, jika bukan kita, siapa lagi yang akan mempertahankan Kedaulatan Raja-Raja dan Perlembagaan Negara.
“Sanggupkah kita menggadaikan Keluhuran Perlembagaan serta Kedaulatan Undang-undang Negara?
“Gara-gara sebahagian pimpinan kerajaan ini khuatirkan tentang kedudukan dan jawatan mereka semata-mata,” tegasnya Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi.
Jelas Ahmad Zahid, keputusan UMNO petang semalam juga amat kritikal demi menyelamatkan rakyat dan negara.
“Amat mustahak dalam menterjemah kehendak anggota masyarakat dan akar umbi parti.
“Sebuah ketetapan yang tegas oleh UMNO yang perlu dilakukan demi kemaslahatan yang besar,” katanya.
Begitu juga katanya, UMNO telah memberi peluang dan ruang secukupnya kepada kerajaan PN sejak negara dilanda pandemik dan bagaimanapun kerajaan ini berterusan gagal membendung penularan COVID-19 dan melindungi rakyat.
“Pelbagai pandangan serta cadangan dilontarkan oleh UMNO dan rakyat tidak dipedulikan. Natijahnya hampir 10,000 nyawa tidak bersalah telah terkorban. Kes jangkitan harian menghampiri 20,000.
“Sebanyak 1.2 juta keseluruhan kes jangkitan Covid-19 telah dilaporkan dengan lebih 200,000 kes aktif. Lebih 1,000 kini di unit rawatan rapi (ICU) dengan separuh daripada mereka terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan,” kesalnya.
Tambahnya lagi, selepas keadaan kian meruncing kerajaan PN seolah-olah cuba ‘menggula-gulakan’ rakyat dengan mengumumkan beberapa pendekatan populis tetapi ibarat ‘racun’ yang boleh memudaratkan.
Justeru katanya UMNO tidak boleh berpeluk tubuh membiarkan keadaan ini.
“Rakyat perlukan pembelaan. Maka “enough is enough”. UMNO telah mengambil pendirian. Kepada Allah SWT kita berserah,” katanya. – UMNO ONLINE