Apabila Seorang Perdana Menteri Sudah Kehilangan Majoriti, Apa Yang Akan Berlaku Menurut Perlembagaan?

1. Perkara 43 (4) Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka dia boleh pilih untuk sama ada:
(i) Meletakkan Jawatan atau;
(ii) Menasihati Agong untuk Membubarkan Parlimen.

2. Namun Agong Mempunyai Kuasa di bawah Perlembagaan Perkara 40(2) untuk TIDAK MEMPERKENANKAN permintaan pembubaran Parlimen atas alasan KERANA KEADAAN PANDEMIK COVID-19.

3. Agong boleh menggunakan kuasa di bawah Perlembagaan Perkara 40 (1) melantik seorang Perdana Menteri baharu mengikut BUDI BICARANYA. Perkara 43 (2a) pula dinyatakan perlantikan berasaskan “seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu”.

4. Maknanya Agong boleh melantik sesiapa sahaja di kalangan 220 Ahli Dewan Rakyat (2 meninggal dunia) mengikut BUDI BICARANYA dan PADA HEMATNYA MENDAPAT KEPERCAYAAN MAJORITI.

5. Jika Agong sudah melantik seseorang menjadi Perdana Menteri, dia ada tempoh 60 hari untuk mengabsahkan kedudukannya yang dianggap mempunyai majoriti di Parlimen (floor test) dengan mengemukakan usul percaya kepada Perdana Menteri.

6. Sesudah itulah baru Perkara 43 (2b) menyatakan Agong atas nasihat Perdana Menteri melantik Jemaah Menteri sama ada dari Dewan Rakyat atau Dewan Negara untuk membantu Perdana Menteri.

CADANGAN:

1. Dilantik seorang Perdana Menteri Interim yang TIDAK KONTROVERSI, TIDAK DIANGGAP ANCAMAN KEPADA SESIAPA dan TIDAK ADA CITA-CITA POLITIK UNTUK BUNUH PESAING-PESAING POLITIKNYA.

2. Perdana Menteri Interim boleh mewujudkan ‘WAR CABINET’ atau sebuah kabinet sepertimana pengalaman UK dalam beberapa peristiwa besar untuk melawan pandemik penyakit tangan dan kuku, ‘Brexit’ dan Perang Dunia di zaman Winston Churchill.

3. ‘War Cabinet’ bersifat inklusif, terdiri daripada wakil-wakil semua parti besar tidak kira kerajaan atau pembangkang.

4. TUJUAN KERAJAAN INTERIM melalui fungsi Perdana Menteri dan ‘War Cabinet’nya dengan fokus yang khusus kepada hanya 3 perkara:
(i) Menangani COVID-19.
(ii) Mempercepatkan Vaksinasi agar negara segera capai imuniti kelompok.
(iii) Membantu kebajikan rakyat yang kesempitan ketika ini (termasuk #TuntutanRAKYAT)

5. Kabinet dikecilkan daripada 70 Menteri dan Timbalan Menteri seperti yang ada dalam Kerajaan Perikatan Nasional sekarang (tak tahu efektif atau tidak?) kepada hanya beberapa atau maksimum 10 Menteri Koordinator.

6. Kerajaan Interim hanya untuk tempoh sehingga imuniti berkelompok tercapai iaitu lebih 90% rakyat divaksin. Sasaran tidak boleh lebih 6 bulan.

7. Jika imuniti kelompok berjaya dicapai, Perdana Menteri Interim mesti menasihati Agong untuk membubarkan Parlimen bagi diserahkan mandat kembali kepda rakyat untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Kerajaan Interim boleh meredakan suhu politik dengan semua parti terlibat untuk tangani COVID-19, dengan sendiri wujud Gencatan Senjata Politik (Political Ceasefire). Ini kerana matlamat akhir selepas 6 bulan dan setelah berjaya mencapai imuniti kelompok, PRU-15 boleh diadakan.

Sepanjang Kerajaan Interim ini;
– tidak ada lagi aktiviti ‘horse trading’ (jual beli ahli Parlimen dan orang politik).
– Tidak ada lagi aktiviti persaingan sengit dengan kecenderungan penguasa menggunakan kaedah ‘knife, pen and cheque book’, ugut dan tawaran untuk melemahkan pesaing di kalangan parti-parti lawan.
– Semua parti bekerjasama fokus COVID-19 bukan membina ‘war chess’ sepanjang dalam kerajaan.
– ‘Political Ceasefire’ untuk seketika sehingga PRU-15.

Siapa TOKOH Perdana Menteri Interim pilihan anda yang punya kriteria seperti disebut di atas? (TIDAK KONTROVERSI, TIDAK DIANGGAP ANCAMAN KEPADA SESIAPA dan TIDAK ADA CITA-CITA POLITIK UNTUK BUNUH PESAING-PESAING POLITIKNYA). – UMNO ONLINE

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia