KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO menegaskan bahawa kerajaan tiada pilihan untuk laksanakan ‘total lockdown’ atau PKP menyeluruh di negeri-negeri yang terkesan teruk (tidak semua negeri) selama sekurang-kurangnya 7 hingga 14 hari.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kali ini ‘total lockdown’ mestilah betul-betul seperti PKP 1.0. Semua sektor ditutup sepenuhnya dan tiada lagi kilang dibenarkan beroperasi atas nama ‘Essential Services’ selama 7-14 hari, kecuali kilang makanan yang tiada pilihan untuk mengedarkan makanan keperluan rakyat.
“Total lockdown kali ini juga memerlukan Kerajaan menyalurkan bantuan secukupnya kepada sekurang-kurangnya golongan M40 dan B40 dengan cadangan bantuan tunai RM2000 setiap isi keluarga yang memberi implikasi kewngan negara RM30-RM40 bilion,” katanya dalam hantaran di laman facebooknya.
Ujarnya, ‘total lockdown’ kali ini juga mewajarkan Kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP i-Citra dengan jumlah yang lebih besar sekurang-kurangnya RM10,000 secara one-off dan Moratorium daripada bank-bank (termasuk agensi kerajaan seperti LPPSA) tanpa faedah terakru selama 3 bulan.
“Ya, jumlah nampak besar tetapi apa sangat nilai RM40 bilion jika dibandingkan dengan lebih 10 RIBU nyawa yang telah terkorban dan kian meningkat?
“Apa sangat nilai RM40 bilion, jika dibandingkan dengan kerugian berlipat-ganda jika kes baharu masih melangkaui 20 RIBU kes hingga PKP berterusan yang melumpuhkan terus aktiviti ekonomi?
“Benar, program vaksinasi mesti disegerakan agar negara mencapai tahap imuniti kelompok (herd immunity) secepat mungkin. Namun, secara realistik akan mengambil masa beberapa bulan lagi.”
Tegas Asyraf lagi, rakyat tidak boleh dibiarkan sengsara berterusan dan menunggu beberapa bulan lagi tanpa bekerja dan apa-apa pendapatan akibat PKP yang tiada berkesudahan.
“Total lockdown dapat mengelakkan malapetaka lebih besar jika perkhidmatan kesihatan negara LUMPUH dan tidak dapat lagi menampung jumlah pesakit yang kian meningkat terutama di ICU dan yang memerlukan alat bantuan pernafasan.
“Justeru, lebih baik susah sekali daripada berkali-kali. Utamakan nyawa lebih daripada kepentingan ekonomi!”
Semalam, dilaporkan angka kes baharu COVID-19 yang sudah melangkaui 20 ribu, jumlah kematian melebihi 10 ribu dan tidak nampak tanda-tanda akan reda bahkan makin membimbangkan.
Ujar Asyraf, selagi tidak putus rantaian virus, selagi itulah kes-kes akan terus meningkat.
“Apa kesannya? Sistem perkhidmatan kesihatan kita runtuh (collapse). Frontliners di kalangan doktor, jururawat, petugas kesihatan lain juga ‘burnt-out’ atau kepenatan melampau dan tertekan. Peralatan bantuan pernafasan dan kemudahan ICU tidak mencukupi, kes kematian akan terus meningkat.
“Untuk mempercepatkan proses vaksinasi pun akan mengambil masa beberapa bulan lagi. Dalam tempoh tersebut, kita tidak boleh lagi berkompromi walau satu nyawa,” katanya lagi. – UMNO Online