KUALA LUMPUR, 15 Ogos – “Mengata dulang paku serpih mengata orang dia yang lebih. Melempar tuduhan demi tuduhan ke atas Presiden UMNO tapi akhirnya mereka melakukan apa yang dituduh.”
Demikian bidas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berikutan perkembangan politik semasa dengan Perdana Menteri mengemukakan cadangan persefahaman rentas parti termasuk kepada Dap dan PKR lantaran tidak mendapat sokongan majoriti di Parlimen.
“Begitulah ‘karma’ sebuah pembohongan dan penipuan. Akhirnya mereka yang menawarkan jajaran baharu bersama Dap. Mula menghalalkan apa mereka haramkan.
“Hilang terus dalil ummah dan musuh agama yang hari-hari diratib untuk menyerang Presiden UMNO.
“Beberapa mereka mendakwa konon tidak dimaklumkan jajaran baharu, tetapi ok demi tamadun,” katanya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya, hari ini.
Katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), ada mendakwa konon tak mahu jajaran baharu bersama DAP, tetapi terpaksa disebabkan pandemik.
“Bermacam-macam alasan cuba mereka selindungi, tetapi mahu selindung apa lagi?
Rakyat tidak lagi mudah diperbodohkan. Penipuan, pembohongan dan hipokrasi tahap tertinggi.
“Mereka mendulang air terpercik muka sendiri. Presiden UMNO begini jua terus berpegang pada prinsip parti.
“Mungkin berkat kesabaran dan yakin kebesaran Tuhan berdepan panah-panah fitnah,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau melahirkan rasa simpati pada JKOM selepas bersungguh-sungguh melancarkan propaganda terhadap Presiden UMNO.
“Saya maafkan fitnah dan dakyah anda semua. Semoga kebenaran semalam menatijahkan sebuah keinsafan,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk. – UMNO Online