UMNO Junjung Kasih YDP Agong, Harap Ismail Sabri Dapat Terjemah Hasrat Parti Penuhi Aspirasi Rakyat

1. UMNO menjunjung kasih kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas perkenan baginda melantik YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob selaku Perdana Menteri Malaysia ke-9.

2. UMNO berharap dengan perlantikan ini, maka Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob dapat menterjemahkan hasrat Parti untuk membawa aspirasi rakyat dalam usaha menangani pandemik Covid-19 dan memastikan kesejahteraan, kemaslahatan dan keselamatan mereka sentiasa menjadi keutamaan.

3. Ini selaras dengan titah saranan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang juga mahu suatu permuafakatan dan kerjasama di kalangan Ahli-Ahli Dewan Rakyat dapat dilakukan dengan mengakhiri segala kemelut politik demi kepentingan rakyat dan negara

4. Kerajaan baharu ini juga diharapkan akan berusaha memastikan kestabilan politik dapat dicapai bagi suatu tempoh munasabah sebelum memungkinkan diadakan Pilihan Raya ke-15, untuk diserahkan kembali mandat mutlak kepada rakyat.

5. Akhir sekali, UMNO merakamkan penghargaan kepada semua Ahli-Ahli Parlimen yang telah memberikan kepercayaan kepada Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob untuk diperkenankan pelantikannya oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Perdana Menteri Malaysia ke-9.

AHMAD ZAHID BIN HAMIDI
20 Ogos 2021

[gview file=”https://umno.org.my/wp-content/uploads/2021/08/Kenyataan-Media-20-OGOS-2021.pdf”]