KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa syukur selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pelantikan Naib Presiden UMNO merangkap Ahli Parlimen Bera itu adalah bagi mengisi kekosongan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai perdana menteri kelapan pada 16 Ogos lepas susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Susulan itu, Ahmad Zahid berkata kini adalah masa untuk semua pihak berlapang dada demi rakyat dan negara.
“Syukur kehadrat Ilahi, dengan limpah Rahman dan RahimNya, semoga Malaysia sentiasa dalam naungan Redha Allah SWT.
“Kini masa untuk semua pihak berlapang dada dan berjiwa besar memandang ke hadapan demi rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal tersebut menerusi laman facebooknya, hari ini.
Dalam masa yang sama, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut menyertakan intipati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Abdullah untuk dihayati iaitu:
Pertama Seri Paduka Baginda bertitah bahawa rakyat dan negara amat terkesan akibat krisis dan ancaman pandemik Covid-19.
Maka kerajaan baharu diminta terus memerangi pandemik dengan segera demi kemaslahatan rakyat serta negara.
Kedua Seri Paduka Baginda berharap kesemua Ahli Parlimen supaya mengenepikan agenda politik.
Bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik Covid-19 demi kepentingan rakyat dan negara. – UMNO Online