KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berpandangan pelantikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menandakan bermulanya kembali era kestabilan politik.
Katanya ini sekali gus membawa negara mendepani pengurusan dan penyelesaian masalah rakyat di hadapan.
“Sekalung tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri Malaysia.
“Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong. Dalam fasa baharu kerajaan pimpinan UMNO ini, rakyat mendahagakan suatu lembaran yang mampu memberi sinar di hujung terowong bagi mengatasi cabaran ekonomi dan kesihatan yang kian memuncak.
“Seluruh rakyat Malaysia apatah lagi warga UMNO dari kepimpinan sehinggalah ke ahli akar umbi bersatu hati membantu dan mendoakan kejayaan Perdana Menteri. Semoga dipermudahkan segala urusan dalam mengharungi segala cabaran di depan, demi Malaysia yang kembali gemilang,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Terdahulu, Naib Presiden UMNO itu hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pelantikan Ahli Parlimen Bera itu adalah bagi mengisi kekosongan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri Kelapan pada 16 Ogos lepas susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat. – UMNO Online