KUALA LUMPUR, 8 Sept – Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan sekali lagi mengulangi gesaan agar Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik disegerakan.
Katanya, ini adalah antara langkah yang baik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara.
“Undi 18 dan daftar automatik adalah berita baik bagi suburkan demokrasi kerana dilaporkan 5.60 juta orang belum mendaftar. 1.2 juta adalah umur antara 18-21 tahun manakala 4.4 juta pula 21 tahun ke atas.
“Daftar automatik dan undi 18 telah dilulus lebih 2/3 undi di Dewan Rakyat sejak 16 Julai 2019. Masa yang cukup telah diberi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” ciapnya di Twitter berkaitan hal terbabit.
Tegasnya yang juga Ahli Parlimen Pontian, kerajaan perlu beri peluang kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baik.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah mengarahkan SPR melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Dis ini bagi mematuhi keputusan mahkamah.
Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching Jumaat lepas memerintahkan SPR dan kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Dis tahun ini.
Dilaporkan, pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi Undi 18 dan pendaftaran pengundi secara automatik telah mendapat sokongan penuh kesemua Ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Julai 2019 lalu. – UMNO ONLINE