KUALA LUMPUR, 12 Sept – Presiden UMNO, Datuk Ser Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan baharu perlu memastikan Keluarga Malaysia tidak terus diselubungi dengan persoalan yang masih belum terjawab.
Ini kerana katanya, kebenaran perlu diketahui dan rakyat perlu tahu malah Malaysia perlu tahu.
“Sudah beberapa hari sejak Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 27 Ogos 2021 meminta kerajaan baharu menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
“Penubuhan RCI bagi menyiasat pelbagai pendedahan yang pernah dibuat bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menerusi buku memoirnya bertajuk ‘My Story: Justice In The Wilderness’,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu terbabit menerusi laman facebooknya, hari ini.
Jelasnya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), ini termasuk pendedahan yang menimbulkan persoalan kemungkinan berlaku campur tangan politik dalam institusi Peguam Negara, Kehakiman dan Keselamatan semasa negara di bawah pentadbiran kerajaan 22 bulan.
“Sebenarnya desakan ini baru, sebaliknya telah pun dibuat oleh ramai pihak sejak awal tahun ini dengan ratusan laporan polis juga telah dibuat.
“UMNO melalui Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 5 Februari 2021.”
Ujarnya, negara perlukan jawapan kepada segala persoalan disebalik pendedahan yang sama ada ‘disengajakan’ atau ‘tidak disengajakan’ menerusi buku tersebut.
“Kerana ia melibatkan maruah serta keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
Persoalan yang terungkai malah berpotensi menjawab kepada lebih banyak persoalan kepada apa yang berlaku selepas tarikh 9 Mei 2018.
“Kerajaan 18 bulan tidak tergerak untuk menubuhkan RCI tersebut, maka kita berharap kerajaan baharu dapat menjadikannya kenyataan,” katanya lagi. – UMNO Online