KUALA LUMPUR, 13 Sept – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pembukaan Dewan Rakyat Penggal Keempat Parlimen hari ini.
Kata Ahmad Zahid melalui persidangan yang berlangsung selama 17 hari sehingga 12 Okt ini beliau akan membawakan suara rakyat untuk didengari serta diberi perhatian oleh kerajaan.
“Parlimen sebagai lambang struktur demokrasi negara serta cerminan aspirasi rakyat tidak sesekali boleh diperkotak-katikkan.
“Malaysia adalah sebuah negara berdaulat dan berperlembagaan yang mengamalkan demokrasi berparlimen.
“Semoga Allah memudahkan segala urusan demi kepentingan rakyat dan masa depan negara tercinta,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Sidang Parlimen yang membuka tirainya hari ini adalah yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sementara itu, Mesyuarat Dewan Negara yang dirasmikan serentak dengan Dewan Rakyat hari ini akan berlangsung mulai 4 hingga 26 Okt. – UMNO Online