KUALA LUMPUR, 14 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap #TuntutanRAKYAT agar nilai Bantuan Khas Covid (BKC) ditambah akan menjadi kenyataan.
Katanya, bantuan rakyat ini adalah ‘safety net’ atau jaminan keselamatan rakyat yang bukan sahaja mampu mengeluarkan rakyat daripada kesempitan jangka pendek bahkan sebagai stimulus atau perangsang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang dilanda pandemik.
“Difahamkan antara perincian kandungan MoU antara Kerajaan dengan Pakatan Harapan ialah mengkehendaki kerajaan menambah suntikan fiskal melalui dana-dana bantuan tambahan kepada rakyat.
“Diharapkan melalui suntikan fiskal ini, rakyat dapat manfaat dengan pertambahan nilai bantuan termasuk juga antara #TuntutanRAKYAT agar nilai BKC ditambah, tiada diskriminasi antara penerima GKP dengan BKC, mengambil kira juga golongan M40 yang juga amat terkesan selain B40.
“Harapnya ini akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat apabila Bajet 2022 diumumkan nanti,” katanya dalam kenyataan melalui laman facebooknya berkaitan hal terbabit, hari ini.
Dilaporkan, Pemuda UMNO meneruskan #TuntutanRAKYAT yang merupakan rumusan berasaskan maklum balas rakyat kepada pergerakan terbabit dengan melibatkan bantuan tambahan tunai, bantuan bakul makanan, moratorium, i-Sinar 2.0, i-Lestari 2.0 dan diskaun bil-bil utiliti. – UMNO Online