SELAIN daripada pelaburan swasta, pelaburan kerajaan seperti pembinaan projek mega termasuk dalam kategori gross fixed capital formation (pembentukan modal tetap kasar – PMTK).
Statistik menunjukkan PMTK negara pada tahun 2020 mengalami penguncupan sebanyak 14.5% kepada RM281.1 billion berbanding tahun sebelumnya. Ini merupakan penguncupan terbesar semenjak krisis kewangan tahun 1998 dulu. Faktor utama yang menyumbang kepada penguncupan PMTK adalah kelembapan ekonomi akibat pandemiK Covid-19. (pautan)
Pada tahun 2020, pelaburan Kerajaan mewakili 21.3% dari jumlah keseluruhan PMTK, menurun dari paras 25.1% berbanding tahun 2019.
Pelaburan sektor swasta dijangka akan terus menguncup sekiranya kelembapan ekonomi berterusan. Dengan itu kerajaan disarankan melaksanakan tanggungjawapnya dengan meningkatkan pelaburan kerajaan menerusi pelaksanaan projek mega berimpak tinggi.
Di samping kesan berganda (multiplier effect) yang diberikan oleh projek mega berimpak tinggi ini kepada pertumbuhan ekonomi negara, di bawah disenaraikan 5 RASIONAL kenapa projek mega ini mustahak untuk dilaksanakan sebagai sebahagian dari pelan pemulihan ekonomi pasca Covid terutamanya dalam situasi kelembapan ekonomi sekarang;
1. Pemangkin Pertumbuhan Ekonomi
Pertumbuhan PMTK meningkatkan keupayaan produktif negara (productive capacity) pada masa akan datang. Potensi pertumbuhan ekonomi negara sangat bergantung kepada pelaburan yang dibuat ketika ini bagi meningkatkan keupayaan produktif yang boleh digunakan untuk membantu pengeluaran produk dan perkhidmatan pada masa akan datang.
Contohnya ECRL dan HSR dapat membantu pergerakan orang dan barangan menjadi lebih efisyen, cepat dan selesa setelah ianya siap dibina nanti. Pelaburan besar-besaran kerajaan dalam telekomunikasi 5G dan sektor tenaga misalnya akan menjamin jaringan telekomunikasi yang baik di seluruh negara dan sumber tenaga yang tidak terganggu untuk kemudahan rakyat dan sektor perniagaan.
Pelaburan dalam sektor ini jelas dapat meningkatkan pertumbuhan pelbagai perniagaan dalam sektor perkhidmatan pada masa akan datang.
2. Mewujudkan Peluang Pekerjaan Berproduktiviti Tinggi
Projek pembinaan transportasi awam berbasis rel elektrik akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan berproduktiviti tinggi. Ini jelas terbukti ketika Kerajaan Barisan Nasional melaksanakan pembinaan projek MRT1 dan ECRL sebelum PRU ke 14 dulu.
Latihan dalam bidang teknikal (upskilling) yang paling berkesan berlaku menerusi learning by doing dan on the job training. Jadi, selain dari technology transfer, pembinaan projek mega seperti HSR, MRT dan ECRL merupakan tempat terbaik untuk pekerja tempatan memperolehi skill baru dengan mempelajari penggunaan teknologi terkini secara terus di lapangan.
Ini seterusnya akan menambahkan bilangan tenaga kerja berkemahiran tinggi di sektor pembinaan dan rel elektrik dalam negara.
3. Pemangkin Pelaburan Swasta Dan Pertumbuhan SME
Walaupun sektor swasta merupakan penyumbang terbesar kepada PMTK di negara kita, tetapi oleh kerana pelaburan swasta dibuat bermotif keuntungan, maka ia sangat dipengaruhi oleh situasi ekonomi semasa. Kelembapan ekonomi ketika ini menyebabkan PMTK swasta menguncup dalam jumlah yang besar.
Pembinaan projek mega oleh kerajaan dapat meningkatkan jangkaan keuntungan pihak swasta dalam sektor tertentu, ini seterusnya akan mempengaruhi pelaburan banyak SME yang berkaitan.
Justeru dalam keadaan kelembapan ekonomi sekarang, pembinaan projek mega berimpak tinggi oleh kerajaan yang dicadangkan Barisan Nasional tidak akan mewujudkan kesan crowding-out dalam ekonomi, sebaliknya akan menjadi faktor penarik kepada pelbagai pelaburan swasta juga.
4. Mengurangkan Pembaziran Sumber Produktif
Kelembapan ekonomi bukan sahaja meningkatkan jumlah pengangguran buruh, malah terdapat banyak faktor produktif seperti jentera dan mesin dibiar tidak digunakan (excess capacity). Ini merupakan satu bentuk pembaziran sumber.
Selain itu, pembatalan projek PR1MA, MRT3 dan HSR, serta penangguhan ECRL oleh Kerajaan Pakatan Harapan yang tiada kena mengena dengan pandemi telah menyebabkan banyak jentera berat berteknologi tinggi yang sudah sedia ada dalam negara tidak digunakan. Pembatalan projek transportasi awam berbasis rel elektrik oleh PH telah mengakibatkan banyak pekerjaan berproduktiviti tinggi terhapus, juga menyebabkan kehilangan kemahiran (skill lost) di kalangan pekerja terlatih dalam sektor tersebut.
Kini, pembaziran sumber produktif dalam negara menjadi semakin parah akibat pandemi kerana ia turut memberi dampak negatif kepada sebahagian besar lain-lain sektor dalam ekonomi.
Dengan itu pelaksanaan projek-projek mega berimpak tinggi dapat mengurangkan pembaziran sumber terutamanya dalam sektor pembinaan dan sektor lain yang terlibat secara lansung mahupun tidak lansung.
Justeru, pembinaan projek-projek mega yang memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat seperti ECRL dan HSR tidak wajar dilihat sebagai satu bentuk pembaziran, sebaliknya ia perlu dilaksanakan sekarang ketika kelembapan ekonomi supaya pembaziran sumber-sumber produktif dalam sektor pembinaan sama ada dalam bentuk jentera berat yang tidak diguna mahupun tenaga mahir dalam sektor pembinaan yang berada dalam kondisi underemployed dapat diaktifkan semula.
5. Menyediakan Peluang Pelaburan Dan Menjamin Dana Persaraan
Ketika kelembapan ekonomi, pertumbuhan pelaburan kewangan yang kurang berisiko turut terbantut. Ini berlaku kerana kurangnya pertumbuhan potensi pelaburan dalam kegiatan ekonomi. Akibatnya sektor pelaburan kewangan cenderung menjadi lebih spekulatif setiap kali pertumbuhan ekonomi mengalami kelembapan. Keadaan ini menyukarkan pelbagai institusi pelaburan termasuk dana persaraan seperti KWSP dan mutual funds untuk membuat pelaburan jangka panjang yang diperlukan.
Pembinaan projek-projek mega berimpak tinggi membolehkan pihak kerajaan menerbitkan instrumen pelaburan kewangan jangka panjang yang menjanjikan pulangan keuntungan yang selamat. Dengan itu ia dapat membantu dana persaraan yang punya obligasi jangka panjang untuk membuat pelaburan baru dan mengurangkan exposure kepada instrumen kewangan yang berisiko dan berbentuk spekulatif.
Kesimpulan
Bantuan-bantuan lain kepada rakyat tidak akan terhalang dengan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan projek mega berimpak tinggi, kerana keduanya bukan bersifat mutual eksklusif. Sebaliknya ia dapat membantu mempercepat proses pemulihan ekonomi pasca pandemi.
Oleh kerana wujud excess capacity dan banyak sumber produktif yang tidak digunakan dalam ekonomi terutamanya dalam sektor pembinaan ketika ini, maka pembinaan projek-projek mega berimpak tinggi tidak akan mendatangkan kesan negatif berupa crowding-out effect. Sebaliknya dapat jadi pemangkin kepada pelbagai pelaburan swasta.
Oleh kerana satu-satu pembangunan infratruktur itu akan punya nilai kewangan yang jauh lebih tinggi berbanding nilai obligasi kewangannya apabila ia sudah disiapkan kelak, maka penilaian kewangan tidak wajar dibuat hanya pada nilai kos pembinaannya sahaja. – UMNO ONLINE
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia