KUALA LUMPUR, 1 Okt – UMNO akan mempertahankan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi dalam pilihan raya yang lalu, tegas Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, ini seperti yang diputuskan secara sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tahun lalu.
“UMNO tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kerusi telah dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
“Ketetapan ini bukan hanya oleh MKT, tetapi ia lahir dari suara akar umbi yang mahu UMNO menjadi dominan semula selepas PRU-15,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam satu perkongsian di Facebook.
Jelas Ahmad Zahid, dominan bukan pula bermaksud angkuh, tetapi kewajipan mengembalikan UMNO sebagai sebuah parti yang menjadi teras kepada pentadbiran kerajaan.
Ujarnya lagi, UMNO parti terbesar bangsa Melayu dan parti terbesar di negara ini, maka kemenangannya sangat signifikan dalam memastikan kestabilan yang kukuh.
“Dan pastinya UMNO sedia maklum akan ada parti lain bertanding di kawasan sama. Ini lumrah sebuah negara demokrasi.
“Namun jangan sesekali memperkecilkan kekuatan UMNO dan para akar umbinya bangkit,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi.
Ulasnya juga, rakyat telah mengerti antara kebenaran dan kepalsuan akibat pertukaran kerajaan selepas PRU-14.
“Mereka melihat dengan jelas apa yang berlaku selepas PRU-14.
“Pisang tidak berbuah dua kali. Cukup-cukup sudah apa yang terpaksa mereka lalui sejak 9 Mei 2018,” tegasnya. – UMNO ONLINE