KUALA LUMPUR, 5 Okt – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyokong saranan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk kemelut politik Negeri Melaka diselesaikan dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Katanya, wajar untuk rakyat diberikan kesempatan memilih siapa yang selayaknya mewakili mereka dan seterusnya menentukan calon yang sebaiknya memimpin Melaka.
“Kadar vaksinasi yang hampir menyeluruh di seluruh negara sudah membolehkan suatu pilihanraya diadakan segera.
“Tiada alasan lagi untuk menunda proses demokrasi apabila mandat rakyat terus dibelakangkan oleh beberapa ADUN yang berkepentingan,” katanya dalam kenyataan pendek menerusi laman facebooknya berkaitan isu terbabit.
Tegasnya, krisis politik di Melaka menunjukkan betapa undang-undang untuk membataskan lompatan parti dan mengadakan pilihan raya pecat sangat diperlukan di negara ini.
Dilaporkan, semalam empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) mengumumkan hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri ke-12.
Kerajaan negeri pimpinan BN sebelum ini diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 (BN-UMNO), dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh (DAP), dua (PKR) dan dua (Amanah).
Berikutan penarikan sokongan empat ADUN itu kerajaan kepimpinan Sulaiman kini mempunyai sekadar 13 kerusi daripada 28 kerusi DUN, secara teknikal beliau kehilangan majoriti di DUN untuk terus menerajui kerajaan Melaka.
Sekiranya Sulaiman yang juga ADUN Lendu terpaksa meletakkan jawatan, Melaka pastinya bakal menyaksikan pelantikan ketua menteri baharu iaitu yang ketiga setelah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pada 9 Mac 2020, Sulaiman, setiausaha Badan Perhubungan UMNO Melaka diisytiharkan sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 menggantikan Adly Zahari dari PH. – UMNO Online