TANGGA BATU, 11 Okt – Samaada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan dalam waktu terdekat atau tidak, persiapan jentera parti pelbagai peringkat mesti dilakukan, demikian menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Menurut beliau kunjungannya ke Melaka hari ini antara lain untuk melihat segala persiapan dan juga persedian daripada jentera parti pelbagai peringkat untuk menghadapi PRN kelak.
“Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang akan diadakan pada 14 Oktober nanti tentunya antara lain secara khusus akan membincangkan pasal Melaka dan apakah perkara-perkara yang akan kita lakukan selepas ini.
“Tentunya Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali akan memaklumkan kepada MKT dan tentunya segala pandangan akan diberikan berkaitan apa yang akan kita lakukan,” katanya pada sidang media, di sini Ahad malam.
Turut serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan pimpinan UMNO yang lain.
Terdahulu beliau mengadakan taklimat bersama jentera parti empat peringkat negeri Melaka di Baitul Tariq, di sini.
Menjawab soalan media berkaitan soal calon, Ahmad Maslan menjelaskan perkara berkenaan belum lagi dibincangkan.
“Soal calon dan sebagainya belum lagi dan belum dimuktamadkan. Namun… samaada PRN cepat atau lambat persiapan kena dibuat. Tujuan saya datang ke sini antara lain untuk melihat persiapan-persiapan yang sewajarnya,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh turut menjelaskan soal calon ianya akan dibincangkan antara presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid bersama Pengerusi Perhubungan setelah mendapat cadangan daripada peringkat bahagian.- UMNO Online