KUALA LUMPUR, 11 Okt – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengucapkan tahniah dan amat gembira dengan keputusan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menubuhkan pasukan petugas khas untuk mengkaji opsyen sesuai
berhubung kes Pulau Batu Putih.
Tegasnya, persoalan kenapa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk tidak meneruskan prosiding semakan di ICJ tidak pernah dijelaskan.
“Keputusan sepenting itu sewajarnya diterangkan di Parlimen secara telus dan bertanggungjawab.
“Dengan menubuhkan pasukan petugas khas kes Pulau Batu Putih ini, amat penting untuk pasukan ini menjelaskan dalam laporannya nanti perkara sebenar yang menyebabkan Kerajaan menarik balik semakan ke atas penghakiman kes Pulau Batu Putih.
“Rakyat Malaysia wajar tahu adakah tindakan tersebut cuai dan membelakangkan kepentingan nasional. Seterusnya siapa yang harus dipertanggungjawabkan dalam kegagalan meneruskan semakan keputusan tersebut,” katanya berkaitan isu terbabit.
Jelas beliau, bangsa lain bermatian untuk mempertahankan walau seinci tanahair mereka sementara Kerajaan PH melepaskan segala usaha mempertahankan kedaulatan Pulau Batu Putih tanpa sebarang skrutini dan pertanggungjawaban.
“Tindakan mereka adalah ‘the neglect of duty of the highest order’. Mereka harus dipertanggubgjawabkan jika mereka, cuai, culas dan membelakangkan kepentingan nasional.”
Terdahulu beliau menyokot berkaytan keputusan Makhamah Keadilan Antarabangsa pada 2008 yang memutuskan bahawa Pulau Batu Putih adalah wilayah berdaulat Singapura dan pada Feb 2017, Peguam Negara mengemukakan permohonan untuk semakan penghakiman tersebut dengan alasan penemuan bukti baru serta tarikh pendengaran untuk semakan ditetapkan pada 11 Jun 2018.
“Setelah Tun Mahathir Mohammad diangkat menjadi Perdana Menteri ke-7, Kerajaan PH telah memutus untuk tidak meneruskan semakan keputusan tersebut. Malaysia kehilangan milikan Pulau Batu Putih untuk selama-lamanya.”
Dilaporkan, Sabtu lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, membuat keputusan terhadap tiga kes penting termasuk semakan semula undang-undang berkenaan Pulau Batu Puteh selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet pada Jumaat.
Jemaah Menteri juga bersetuju pasukan petugas khas diwujudkan bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen sesuai dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.
Usaha ini bertujuan menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh. Pasukan petugas khas ini akan dipengerusikan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Pada masa sama, Jemaah Menteri juga telah membuat keputusan mendapatkan pandangan undang-undang awal berkenaan tindakan undang-undang di bawah ‘Tort of Misfeasance’ ke atas mana-mana pihak yang didapati telah melakukan kecuaian dan kekhilafan ekoran tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsir. – UMNO Online