Kerajaan Persekutuan telah dengan rasminya mengumumkan yang negara kita tidak akan meneruskan usaha dan prosiding rayuan Pulau Batu Putih (Pedra Branca) daripada Singapura di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
2. Keputusan tersebut bukan sahaja tidak disertakan dengan justifikasi atau alasan yang kukuh. Malah, ia diputuskan ketika Peguam Negara (AG) sedang bercuti.
3. Biarpun AG barangkali sudah memberikan nasihat dan pandangan, namun keputusan yang dibuat ketika AG bercuti boleh menimbulkan kontroversi dan kelihatan tidak teratur (improper).
4. Lebih penting, keputusan ini secara tidak langsung memberikan satu mesej moral yang tidak baik kepada kita selaku rakyat. Ia menggambarkan yang kita telah berputus asa untuk berjuang berhabis-habisan dalam menuntut perkara yang menjadi hak kita.
5. Ini bukanlah satu contoh keputusan yang baik. Kerajaan pastinya diharapkan oleh rakyat untuk terus mencuba sedaya upaya untuk menuntut perkara yang menjadi hak dan kedaulatan kita.
6. Pedra Branca sentiasa dilihat sebagai sebahagian daripada Johor, dan ia seharusnya kekal sebagai sebahagian daripada Johor dan Malaysia.
7. Keputusan untuk tidak meneruskan prosiding tersebut seolah-olah kita menyerah kalah dan melepaskan kedaulatan kita kepada Singapura dengan mudah tanpa mempertahankannya dengan sehabis daya dan usaha.
8. Ini adalah isu kedaulatan. Dan bukannya perkara remeh. Ia adalah perkara yang tidak boleh digalang ganti. Jadi, ia mesti dipertahan dan diperjuangkan dengan setegas-tegasnya.
9. Lebih-lebih lagi, ekoran wujudnya bukti dan keterangan baharu yang boleh dikemukakan sebelum ini, pihak AG sendiri yakin bahawa kita masih mempunyai kes yang boleh dibawa dan dipertahankan dalam isu ini. Peluang tersebut seharusnya kita gunakan dengan sehabis baik.
10. Atas dasar inilah UMNO Johor berpendirian yang Kerajaan Persekutuan seharusnya meneruskan kes dan prosiding ini dan tidak menghentikannya.
11. Lebih malang, keputusan tersebut langsung tidak mendapat sebarang maklum balas Kerajaan Negeri Johor.
12. Pihak YAB Menteri Besar Johor hanya membisu dan tidak sedikit pun bersuara menyatakan pendirian Kerajaan Negeri, sama ada bersetuju atau tidak dengan keputusan tersebut.
13. Tindakan sedemikian amat mendukacitakan. Kerajaan Negeri seharusnya peka, aktif dan tegas menyatakan pendirian berhubung perkara ini. Terutamanya Pedra Branca terletak berhampiran dengan Johor dan sudah pastilah kedaulatan dan pemilikannya akan memberi kesan yang besar kepada persempadanan dan aktiviti laut di perairan Johor.
14. Kerajaan Negeri tidak boleh sekadar bersikap acuh tidak acuh dan memilih untuk tidak mengambil peduli perkara yang besar dan sepenting ini.
15. Biar apa pun keputusan oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Johor seharusnya mempunyai ketegasan dan menyatakan pendiriannya yang tersendiri berhubung perkara ini.
16. UMNO Johor menggesa Kerajaan Negeri Johor untuk memberikan penjelasan dan menyatakan pendiriannya dalam perkara ini.
Mohamed Khaled Nordin
* kenyataan akhbar yang disiarkan pada 2 Jun, 2018 mengenai tindakan kerajaan PH tidak meneruskan rayuan terhadap tuntutan Pulau Batu Puteh ketika beliau Pengerusi Perhubungan UMNO Johor. Salinan kenyataan tersebut dimuatnaik supaya kita memahami tindakan yang di ambil oleh kerajaan pimpinan YAB Datuk Seri Ismail Sabri.