KUALA LUMPUR, 14 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan sebuah laporan portal berita yang dipetik di luar konteks kenyataan beliau.
Beliau berkata laporan tersebut seolah-olah memberikan perspektif negatif kepada dirinya sedangkan jawapan yang diberikan itu bukanlah suatu keangkuhan sebaliknya berpegang kepada realiti semasa dan berpijak di bumi yang nyata.
“Saya tidak pernah melontarkan kata-kata kasar seperti yang ditulis dalam tajuk berita ini. Saya tidak pasti mengapa percakapan saya dalam satu wawancara baru-baru ini digarap dengan begitu angkuh sekali (Gambar).
“Gambar wajah saya yang disiarkan pada sudut seolah-olah begitu bengis. Insya-Allah itu bukanlah nilai yang tepat tentang diri saya.
“Biar saya terangkan apa yang saya sebut dan katakan berhubung keadaan politik dalam wawancara berkenaan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook yang disertakan video tersebut.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu turut memberikan kenyataan sebenar pada program Jawab, Saya Tanya! PRU15: Membentuk Atau Membina Arus? itu yang disiarkan baru-baru ini, berikut penjelasan beliau:
Pertama sekali saya ditanya tentang kerjasama antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan saya katakan;
Saya perlu menghormati keputusan dan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO bagi tahun 2020. Ketetapan telah dibuat dan saya sebagai Presiden menghormatinya, bahawa dalam PRU15 kita (UMNO) tidak akan bekerjasama dengan PPBM.
Kemudian saya menjawab soalan adakah saya kecewa dengan Muafakat Nasional (MN) yang pernah dimeterai pada tahun 2019;
Saya tidak pernah kecewa sebagai ahli politik. Tetapi kita harus tahu apabila kita berkongsi hidup harus saling percaya mempercayai dan jangan khianat mengkhianati.
Cukuplah pengkhianatan dilakukan sekali, tetapi kalau telah berulang kali, bukan kepada UMNO, tetapi kepada pelbagai pihak, saya fikir itu harus dinilai semula.
Seterusnya saya menjawab soalan tentang kedudukan MN andai Pilihan Raya Negeri Melaka berlaku dan saya lontarkan pandangan saya;
Biarlah UMNO bertanding dengan panji-panji Barisan Nasional (BN) secara solo dan Insya-Allah rakyat memilih parti yang terbaik. – UMNO Online