KUALA LUMPUR, 16 Okt – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata pentas Pidato Piala Presiden UMNO 2021 adalah antara aplikasi untuk mempersiapkan kekuatan parti menjelang pilihan raya iaitu sebagai landasan dalam memberikan hujah-hujah dan penerangan kepada rakyat.
Selaras itu katanya, pemidato-pemidato Piala Presiden UMNO ini diharap akan membantu kawasan masing-masing dan dijadikan jentera untuk berpidato apabila berhadapan pilihan raya nanti.
“Pemidato-pemidato inilah yang akan membantu kawasan masing-masing, negeri dan insya-Allah jika diberi peluang oleh Pengerusi-pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN) pemidato ini akan dijadikan jentera pilihan raya di kawasan mereka.
“Pemidato UMNO perlu menjuarai dan mencerminkan semangat serta memberikan hujah-hujah yang bernas kepada pengundi dan bukan lagi berhujah kepada ahli UMNO. Kalau jurang ini menjadi cerminan kepada UMNO ianya perlu diubah dengan caranya sama ada dalam pidato mahupun penerangan.
“Saluran dan isi mesti menjurus kepada apa yang rakyat dan pengundi minat. Dalam konteks ini perlu mengimbangi antara kerja asas dan ruji bagi menerangkan serta menjelaskan sesuatu isu kepada ahli UMNO mahupun pengundi,” katanya.
Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia berkata demikian dalam ucapan aluan sempena perasmian Pertandingan Pidato Piala Presiden UMNO 2021 yang disempurnakan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, di Auditorium UMNO, Menara Dato Onn.
Tambah Shahril, pemidato haruslah berpidato mengenai ekonomi negara yang diurus oleh Barisan Nasional (BN) dan bukannya hanya mengeluarkan suara yang tinggi apabila berpidato.
“Pidato tidak boleh retorik dan bercakap tentang jasa institusi UMNO dan kejatuhan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan memerintah sahaja tetapi haruslah berpidato mengenai perbandingan ekonomi semasa diterajui oleh kerajaan BN.
“Adanya fakta dan hujah bukan hanya suara yang tinggi mengharapkan tepukan dan sorakan kerana tepukan dan sorakan hanya datang dari Pusat Daerah Mengundi (PDM) UMNO dan kalau tidak boleh menyakinkan pengundi atas pagar, tidak ada gunanya,” katanya lagi.
Jelasnya lagi, dalam memasuki era Pilihan Raya Umum (PRU) ini ramai rakyat yang akan memilih antara BN, Perikatan Nasional(PN) mahupun PH.
“Dalam era PRU, pemidato harus kembalikan konsep BN, formula kesepakatan selama BN memerintah negara dan pemidato harus menjual dan mempromosi BN dengan hujah-hujahnya.
“Seperti contoh kenapa BN boleh stabil selama berpuluh-puluh tahun berbanding dengan pakatan-pakatan lain yang hanya dapat bertahan selama dua atau tiga tahun ataupun mereka mempunyai masalah yang besar sehingga buang kuasa dan bergaduh sesama sendiri,” ujarnya. – UMNO Online