AMPANG, 26 Okt – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa UMNO mesti terus diperkukuh bagi memastikan dapat melaksanakan tanggungjawab bagi menjadi parti yang menerajui agama, bangsa dan negara.
Ujarnya, hari ini kepimpinan UMNO menjadi teraju dalam kerajaan Malaysia dengan Naib Presiden parti, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri (PM) maka ia mesti terus disokong agar UMNO dapat mengurus negara dengan baik.
“Kerajaan hari ini mesti berfungsi dengan baik dan tak boleh gagal kerana kerajaan hari ini membawa wajah UMNO. Kita perlu pastikan kerajaan ini berjaya untuk memasuki Pilihan Raya Umum (PRU) dan memberi kebaikan kepada rakyat agar nanti mudah untuk kita,” katanya.
Dalam hal ini beliau menolak dakwaan bahawa UMNO gila kuasa dan mahukan jawatan sedangkan banyak bukti bahawa UMNO tidak sedemikian.
“Asyik UMNO saja yang dituduh gila kuasa, sedangkan kalau kita tamak kuasa maka kita tak akan bagi jawatan PM kepada parti lain semasa pembentukan Perikatan Nasional (PN). Asalkan kita tumbangkan Pakatan Harapan (PH) yang di dalangi Dap maka kita setuju tapi kita nampak mereka nak ‘bunuh’ kita maka kerana itu kita tarik sokongan kepada PN… sedangkan kita lakukan demi rakyat dan negara.
“Cukuplah satu tahun tujuh bulan bersama PN yang macam-macam jadi dan sekarang ini dua bulan Datuk Seri Ismail Sabri jadi PM dengan bina ‘Keluarga Malaysia’ … iklim politik kita lega, maka adakah ini tak dapat dilihat lagi bahawa UMNO sepatutnya yang mentadbir negara?” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Perasmian Persidangan Cawangan-cawangan UMNO Bahagian Ampang 2021 yang berlangsung di Dewan Mufti Suib, di sini Ahad.
Beliau menekankan bahawa UMNO dan kerajaan adalah dua entiti berbeza kerana Barisan Nasional (BN) adalah minoriti iaitu kerajaan campuran yang terpaksa ambil kira rundingan-rundingan bersama pihak lain.
“Rundingan ini dilaksana agar kerajaan dapat mentadbir dengan baik sehinggalah pilihan raya tapi tak bermakna kita sama dengan UMNO kerana resolusi parti adalah tetap ‘No PKR, No Dap’. Di mata rakyat mereka tak dapat bezakan, maka kita sebagai ahli perlu teruskan sokongan kepada PM agar UMNO dapat mengurus negara dengan baik.
“Insya-Allah kita ada masa lagi dan resolusi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan sokong kepimpinan PM Datuk Seri Ismail Sabri maka kita ikutlah resolusi yang telah ditetapkan dari atas.”
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau turut membidas dakwaan bahawa UMNO bertanding pilihan raya bersendirian.
“Sejak bila pula UMNO bersendirian bentuk kerajaan kerana UMNO sejak PRU pertama lagi sentiasa bersama rakan-rakan dan tidak pernah meninggalkan mana-mana pun. Sebab itulah dibuat ‘Keluarga Malaysia’ kerana nak masukkan secara inklusif semua rakyat.
“Maka mana-mana parti yang baru sehari dua janganlah bercakap soal perjuangan Melayu kerana lebih 60 tahun UMNO mentadbir tak nafikan hak bangsa-bangsa lain pun.”
Dalam hal ini, beliau menekankan bahawa bukan hanya ahli-ahli UMNO yang perlu bersatu tetapi bangsa Melayu keseluruhan yang menjadi tunjang kepada kekuatan negara malah lemahnya UMNO memberi kesan kepada lemahnya bangsa.
“UMNO lemah kerana Melayu juga lemah. Perkasakan parti dengan cara lihat bagaimana penubuhan awal UMNO. Ketika itu parti begitu kukuh kerana tidak ada perbalahan dan perpecahan. Namun sedikit demi sedikit berlaku perpecahan dengan tertubuhnya Semangat 46 kemudian PKR dan seterusnya macam-macam lagi parti yang serpihan dari UMNO.
“Pihak musuh sedar bahawa nak mengalahkan UMNO, nak lemahkan Melayu maka mereka hanya perlukan 6 – 7% sahaja undi Melayu maka dipujuk Tun Mahathir tubuhkan satu lagi parti Melayu yang kesannya kita hilang undi Melayu 11% saja.
Tegasnya lagi, cara utama untuk menang dalam PRU adalah dengan perkasakan parti tanpa ada berpecah-belah.
“Nak menang jangan bersandarkan kekuatan orang, kita ada kekuatan sendiri. Jangan sentiasa belas ehsan orang kerana itu bukan perjuangan. Binalah kekuatan sendiri. Jangan langkah kita bagi tau dek orang… maka kalau benar nak bangkit maka satukan hati kita dan jangan berpecah-belah. – UMNO Online