KUALA LUMPUR, 2 Nov – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan beliau sentiasa mengikuti perkembangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka meskipun ketika ini berada di Jerman untuk menerima rawatan.
Beliau malah mendoakan agar kerja keras jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) membuahkan hasil untuk memastikan negeri ini dapat kembali ditadbir.
“Saya amat menghargai dan terima kasih kepada mereka yang bertanya khabar saya di luar negara. Hari ini baru berkesempatan membalasnya. Kepada yang bertanya, alhamdulillah saya dan isteri dalam keadaan baik. Jutaan terima kasih kerana mengambil berat dan mendoakan kami.
“Semoga rakan-rakan dapat mendoakan agar urusan rawatan saya di sini dipermudah dan berjalan dengan lancar. Ada juga bertanya sama ada saya tahu tentang perkembangan di Malaysia menjelang PRN Melaka pada 20 November ini? Alhamdulillah walau terpaksa ke luar negara untuk menjalani rawatan, saya sentiasa memantau dan mengikuti rapi segalanya.
“Saya juga ambil maklum bahawa seluruh jentera, ahli, penyokong dan pemimpin UMNO siap siaga penuh semangat. Insya-Allah perjuangan rakan-rakan semua akan beroleh kejayaan demi menjulang kerajaan BN di Melaka dari kejauhan saya kirimkan doa mengiringi hasrat murni kita semua demi rakyat dan tanah air tercinta,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga turut meluahkan kebimbangan beliau dengan fenomena air pasang besar yang diramal berlaku dari 4 hingga 7 November di kawasan tersebut.
Beliau juga turut menyeru kepada seluruh penduduk Bagan Datuk serta kawasan terlibat agar sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah sewajarnya untuk menghindari bahaya.
“Bagi pihak yang berkenaan, kesiapsiagaan bagi menghadapi situasi ini hendaklah sentiasa bersedia dengan peralatan dan kemudahan yang lengkap.
“Kenal pasti kawasan yang berisiko tinggi dan ambil langkah awal bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Bersama kita memanjatkan doa ke hadrat ilahi agar kita semua sentiasa berada dalam perlindungan dan inayah Yang Maha Esa,” ujar beliau. – UMNO Online