KUALA LUMPUR, 10 Nov – Wanita UMNO bukan hanya jentera penggerak kempen untuk meraih undi atau berjalan dari rumah ke rumah mencari pengundi sebaliknya peranan mereka lebih dari itu termasuklah mampu menguasai media sosial yang bakal menjadi manfaat melawan fitnah pihak lawan yang menabur janji bulan bintang.
Demikian tegas Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad dengan gesaan agar ahli-ahli Wanita UMNO dapat menggunakan sepenuhnya media sosial bagi mengembalikan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN).
“Ketika difitnah dan kita tak mampu menepis persepsi yang dibawa lawan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. Propaganda dibawa oleh mereka begitu teratur dan rakyat mula percaya yang semunya hanya disebarkan melalui media sosial.
“Tapi sekarang ini kita kumpulkan jentera dan harapkan boleh menangkis apa-apa juga persepsi dari pihak lawan. Wanita UMNO perlu kuasai media sosial dan kita boleh lakukannya.
“Bayangkan kalau semua kuasai … Wanita UMNO ini adalah ahli paling ramai iaitu 1.3 juta ahlinya yang kalau kita gerakkan keseluruhan maka boleh terbalik mereka,” katanya.
Noraini yang juga Ketua Wanita BN merangkap Ahli Parlimen Parit Sulong berkata demikian dalam ucapan semasa pelancaran program Cyber Rangers Wanita UMNO Malaysia (CreW) yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini. Program tersebut melibatkan peserta ketua-ketua penerangan Wanita Bahagian yang dianjurkan oleh Penerangan Wanita UMNO Malaysia.
Dalam masa yang sama, Noraini menekankan bahawa maklumat semasa hari ini adalah bergantung kepada penguasaan media sosial yang lebih mudah dan pantas.
“Maklumat datang dalam media sosial dengan pantas dan kita perlu kongsikan khususnya berkaitan parti kita termasuklah pengenalan calon-calon BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekarang ini.
“Semua maklumat berada di hujung jari sahaja, malah satu kajian mengatakan bahawa 86 peratus rakyat Malaysia mengikuti media sosial maka sekiranya ia boleh diguna dan diterjemah kepada usaha untuk bantu agama, bangsa dan negara jadi kenapa tidak kita manfaatkan?”
Jelasnya, kempen secara konvensional tidak boleh diaplikasi sepenuhnya lagi kerana tumpuan dalam media sosial juga perlu dimanfaat.
“Kita manfaatkan media sosial kerana melaluinya kita akan lebih mudah untuk mengetahui sikap pengundi.
“PRN ini kita tak boleh rumah ke rumah sedangkan inilah kekuatan jentera Wanita UMNO maka kita rangka strategi politik khususnya dalam menghadapi pilihan raya.”
Namun begitu kata Noraini, Wanita UMNO sentiasa tahu apa yang diinginkan malah tanggungjawab mereka bukanlah sebagai ‘tukang kempen’ sahaja kerana semangat perjuangan untuk parti lebih dari itu.
“Wanita UMNO bukan berjanji kosong, dah banyak buat perubahan, terus bekerja, tetap bekerja walaupun kalah dalam PRU-14, malah sejak dari kalah Wanita UMNO segera bangkit dan kembali memperkasakan parti.
“Wanita UMNO bukan semberono, tak janji bukan-bukan tetapi perjuangan kita juga adalah mahukan agar permintaan untuk peratusan tambahan calon wanita dipenuhi. – UMNO Online