KUALA LUMPUR, 18 Nov – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan seluruh rakyat Melaka khususnya pengundi agar fikir sedalam-dalamnya dan tidak membuat keputusan cuma berdasarkan tohmahan yang direka oleh musuh Barisan Nasional (BN) dalam melaksanakan amanah untuk mengundi pada Sabtu ini sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ini kerana katanya, akibat buruknya adalah tentang masa depan negeri orang Melaka.
“Cukuplah sekali orang Melaka pernah diperdaya pada 9 Mei 2018. Janganlah diulangi kesilapan dan kemudaratan masa lalu kerana Melaka adalah tentang masa depan kita bersama.
“Seluruh rakyat Melaka fahamilah bahawa hari Sabtu ini merupakan peluang untuk orang Melaka mengembalikan sebuah kerajaan negeri yang kukuh dan stabil, iaitu sebuah kerajaan BN Melaka yang pernah bersama-sama bergandingan dengan mereka dalam memakmurkan negeri itu selama berpuluh tahun lamanya.
“Mengertilah fakta sejarah tidak sesekali boleh disanggah bahawa segala pembangunan sedia ada yang terlihat di Melaka selama ini adalah hasil sentuhan kerajaan BN,” katanya melalui hantaran dalam laman facebooknya hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi BN menyeru seluruh rakyat Melaka membaca perkara yang mahu dinyatakan dengan mata hati yang terang dan bukan dengan emosi yang dipermainkan oleh propaganda politik dan persepsi negatif lawan BN.
Ujarnya, keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama yang terjalin di Melaka sejak sekian lama juga ‘hasil nukilan’ pentadbiran kerajaan BN yang sentiasa adil dan saksama kepada semua.
“Melaka memerlukan semangat yang dipandu kerajaan BN itu untuk kembali demi memastikan Melaka dan rakyatnya dapat mengharungi era masa depan yang pasti lebih mencabar, maka janganlah sesekali orang Melaka mensia-siakan peluang itu kerana peluang yang sama akan hanya hadir untuk tempoh yang lama selepas 20 November ini berakhir.”
Soalnya, bukankah rakyat Melaka sudah merasai sejarah hitam 22 bulan pentadbiran kerajaan PH yang banyak menyusahkan hati dan jiwa raga mereka?
“Rakyat Melaka juga sudah menyaksikan sebuah kerajaan negeri tanpa kestabilan rebah begitu mudah pada 4 Oktober lalu angkara komplot empat wakil rakyat Melaka termasuk seorang daripada PPBM dan seorang Bebas.
“Ironinya dua daripada wakil rakyat itu kini bersama PH menjadi calon PRN Melaka, manakala seorang lagi terpaksa bertanding sebagai calon Bebas mungkin selepas didapati tidak lagi diperlukan.
“Dalam erti kata lain rakyat Melaka seharusnya boleh mencongak parti politik manakah yang menjadi punca kepada kejatuhan kerajaan Melaka pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali. Pengundi atas pagar atau tidak berpartisan pula perlu memahami bahawa dengan mengundi sebuah lagi parti bertanding iaitu Perikatan Nasional (PN) tidak akan membawa kestabilan di Melaka.”
Katanya, PN yang merupakan parti serpihan UMNO tidak mempunyai asas yang jitu di Melaka termasuk dalam kalangan penyokong tegar, maka mengundi PN tidak akan memenangkan PN di Melaka.
“Sebaliknya setiap undi kepada PN ibarat memberi satu undi kepada PH untuk berkuasa semula di Melaka dan itu sesuatu yang tidak mahu dilihat oleh majoriti rakyat Malaysia.
“Rakyat Melaka perlu memahami dengan jelas bahawa masa depan Melaka terletak kepada sebuah pentadbiran yang stabil demi kemakmuran dan kerajaan BN selama berpuluh tahun membawa falsafah itu tanpa gagal.
“Bagaimanapun tertewas jua angkara fitnah dan tipu daya PRU-14 bukan sahaja di Melaka, malah di peringkat Persekutuan begitu juga. Bukankah ramai rakan atau kenalan kita juga terpedaya?”
Maka katanya lagi, pada PRN Melaka kali ini rakyat Melaka berpeluang menjadi perintis kepada kebangkitan kestabilan dan kemakmuran masa lalu bukan sahaja di negeri itu malah buat Malaysia amnya. – UMNO ONLINE