MELAKA, 21 Nov – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyeru semua untuk membanyakkan lafaz syukur ke hadrat Ilahi atas kemenangan yang sudah pasti menggembirakan semua.
Khaled juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh jentera dari semua parti komponen, sukarelawan dari seluruh negara dan pasukan penggerak yang telah bekerjasama memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN).
“Kepada semua calon yang kini bergelar wakil rakyat. Kemenangan ini bermakna tanggungjawab kita semua semakin berat.
“Pengabdian dan kesungguhan dalam memberikan yang terbaik kepada Melaka kini bukan sahaja bermula. Tetapi harus digandakan. Pastikan Melaka 5 Tahun menjadi fokus yang diusahakan sedaya mungkin,” ujarnya dalam satu kenyataan yang bersyukur rakyat Melaka memilih kestabilan demi kemakmuran.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada semalam menyaksikan BN menang dengan majoriti dua pertiga di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri daripada 28 kerusi keseluruhan dan seterusnya menubuhkan kerajaan negeri yang mutlak.
Seterusnya ulas Khaled, hendaklah dibuktikan segala komitmen yang dilaungkan sepanjang berkempen adalah satu ikrar yang benar.
“Buktikan bahawa BN masih pentadbir terbaik untuk semua,” katanya.
Tambahnya lagi, kepada semua pengundi Melaka diucapkan terima kasih kerana meyakini usaha BN untuk memerangi amalan lompat parti dan politik yang tidak jujur serta beretika.
“Terima kasih kerana bertindak rasional dan tidak bersandarkan kepada khabar angin dan serangan tidak berasas. Terima kasih,” ujarnya.
Begitu juga Khaled mengucapkan tahniah dan selamat menjalankan tugas kepada semua wakil rakyat di negeri Melaka.
“Sesungguhnya, ini kemenangan bersama. Alhamdulillah,” katanya. – UMNO ONLINE