KUALA LUMPUR, 1 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat perlu memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk kembali sebagai teras pentadbiran negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ini kerana katanya, selepas lebih tiga tahun berlalu sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kini Malaysia mempunyai sebab yang munasabah untuk meyakini BN.
“Bahawa kerajaan BN adalah kerajaan paling berwibawa, berkemampuan dan berpengalaman untuk mentadbir dan membawa kemakmuran,” katanya dalam kenyataan melalui laman facebooknya berkaitan hal terbabit.
Ujarnya yang juga Pengerusi BN, rakyat Melaka telah pun menjayakan misi itu pada 20 November lalu dan harapan seterusnya kini pada bahu rakyat di negeri-negeri lain.
“Seruan mengembalikan kemakmuran bersama kerajaan BN bukan retorik sebaliknya berdasarkan kebenaran yang disaksikan rakyat Malaysia sejak 9 Mei 2018.
“Jika mahu disentuh secara terperinci segala fakta tentang 22 bulan dan 17 bulan pasti panjang untuk disenaraikan, namun ia sebuah hakikat yang nyata.”
Jelasnya, rumusan terpenting mengenai segala-galanya adalah perjalanan negara sejak merdeka telah membuktikan kerajaan BN adalah kerajaan paling berkaliber.
“Paling berkaliber dalam memastikan pentadbiran ekonomi yang cemerlang, kestabilan yang terbilang dan kesejahteraan rakyat yang gemilang.
“Justeru jangan segan dan usah berasa malu untuk kembali menyokong BN kerana itu juga suatu jasa dan pengorbanan demi masa depan.
“Maka apabila tiba masanya kita bersama memastikan sejarah hitam PRU-14 tidak berulang dan mengembalikan sebuah kerajaan rakyat iaitu kerajaan BN,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk. – UMNO Online