KUALA LUMPUR, 11 Dis – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak ahli-ahli parti untuk menjadikan persidangan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO sebagai suatu wacana kesatuan fikiran yang paling utuh pernah disaksikan.
Ini kerana katanya, persidangan kali ini sangat penting demi masa depan parti keramat agama, bangsa dan negara.
“Saya ucapkan selamat bersidang kepada para perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian di seluruh negara.
“Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO adalah tunjang kekuatan parti dan kesetiaannya tidak pernah berbelah bahagi semasa senang mahupun susah,” katanya dalam hantaran menerusi laman facebooknya berkaitan hal terbabit.
Ujar beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, perkukuhkan kemuafakatan, perkuatkan keyakinan, perkasakan iltizam demi UMNO gemilang dan terus terbilang.
Mesyuarat perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda, Pergerakan Puteri UMNO Bahagian diadakan pada 11 dan 12 Disember ini di seluruh negara sementara peringkat bahagian pada 18 Disember.
Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 pula akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 13 hingga 15 Januari tahun hadapan secara hibrid iaitu gabungan kaedah bersemuka dan maya. – UMNO Online