KUALA LUMPUR, 22 Dis – Menafikan usul tergempar di Parlimen bagi membahaskan kemaslahatan nasional paling mendesak dan paling meruncing, pada saat paling genting dan paling perlu, adalah tindakan sangat tidak sensitif, ‘unparliamentary’ dan pengabaian tanggungjawab yang serius.
Demikian tegas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN).
Ujarnya, Parlimen adalah medan utama untuk semua kemaslahatan negara dan rakyat dibincang dan di didebatkan.
“Ia bukan institusi pegun dan hanya berfungsi mengikut agenda mesyuarat rutin.
Ia adalah institusi moral dan demokratik yang paling utama dalam hidup berbangsa dan bernegara.
“Parlimen mesti menjadi tempat paling penting untuk krisis yang melanda negara di rungkai dan dibincangkan oleh semua wakil rakyat.
“Dan ia juga tempat di mana Kerajaan seharusnya menjelaskan segala tindakan, dalam kuasanya, untuk menangani segala krisis yang timbul,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya, hari ini.
Sebelum itu, persidangan Dewan Rakyat semalam kecoh seketika apabila Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun menolak usul tergempar tidak membenarkan beberapa Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan membahaskan isu banjir yang melanda lima negeri.
Ujar Mohamad, akauntabiliti Kerajaan bukan untuk dijelaskan dalam sidang akhbar kerana ia mesti dilakukan di Parlimen sesuai dengan status dan peranan Parlimen itu.
“Tiada agenda lebih besar dan utama dari krisis banjir luar biasa yang melanda negara beberapa hari lepas.
“Tiada aturan mesyuarat yang boleh mengatasi kepentingan rakyat kebanyakan yang kehilangan harta benda, nyawa dan memerlukan segala usaha penyelamatan yang segera.
“Tiada siapa yang lebih besar di Parlimen selain rakyat dan kepentingan mereka. Parlimen Malaysia mesti menjadi Parlimen kelas pertama dan bukan menjadi institusi biasa-biasa.”
Bidas Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Rantau, nampaknya Malaysia semakin mundur ke belakang dalam kematangan demokrasinya jika mempunyai kepimpinan Parlimen yang lebih mengutamakan aturan mesyuarat dari akuantabiliti Kerajaan kepada rakyat.
“Parlimen Malaysia sewajarnya lebih baik dari apa yang ada pada waktu ini,” ujarnya lagi. – UMNO Online