BENTONG, 25 Dis – Setiausaha Agung (SUA) UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan malahirkan rasa syukur kerana telah berjaya menunaikan misi sumbangan untuk mangsa banjir dalam masa beberapa hari ini dan ianya berjalan dengan baik dan lancar.
Katanya, sumbangan yang diberikan diserahkan kepada pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk diberikan kepada mangsa banjir.
“Saya harap setiap pengurusan PPS boleh menerima sumbangan dari pihak parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penjawat awam, individu, usahawan dan sebagainya serta dapat mengumpul dahulu barangan yang disumbangkan serta diagih-agihkan kepada keluarga mangsa banjir.
“Kadang-kadang barang sumbangan tidak banyak tetapi apabila dicampurkan dengan bantuan-bantuan yang lain dan dibungkuskan semula oleh pihak pengurusan tersebut maka bantuan itu akan mencukupi kepada semua ahli keluarga dan itu amat penting serta tidak akan timbul rasa tidak puas hati,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata proses pemulihan dan membersihkan rumah bukanlah semudah disangkakan sebaliknya ia adalah proses rumit dan memakan masa selain memerlukan dedikasi yang tinggi dalam mengembalikan kediaman kepada asal.
“Sekarang ini adalah proses pembersihan kediaman mangsa banjir dan berharap agar sukarelawan UMNO dapat bantu membersihkan kediaman walaupun ia mengambil masa yang cukup lama untuk dapat dibersihkan.
“Kita berdoa agar banjir ini selesai dengan segera dan mudah-mudahan tidak ada lagi hujan lebat dan juga air pasang yang besar,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama Ahmad Maslan turut menyantuni kakitangan Ibu Pejabat UMNO di Bentong yang terlibat dengan banjir baru-baru ini.
“Saya bersama sukarelawan UMNO telah menemui enam orang kakitangan UMNO Malaysia yang rumahnya terlibat dengan banjir, kita berikan bantuan seperti keperluan makanan serta bantuan wang tunai daripada UMNO Pusat.
“Saya harap kakitangan UMNO Malaysia dapat bersabar dan mengharapkan juga agar syarikat-syarikat dan agensi-agensi yang mempunyai kakitangan mereka yang terlibat dengan banjir sama-sama membantu.
“Saya tahu ada syarikat-syarikat yang membantu kakitangan mereka dan inilah tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada kakitangan UMNO. Mudah-mudahan mereka semuanya bersabar terhadap dugaan ini,” ujarnya. – UMNO Online