KUALA LUMPUR, 12 Jan – Tarikh baharu Perhimpunan Agung UMNO 2021 ialah pada 16 – 19 Mac 2022.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan media selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada malam ini.
Maklumnya, kehadiran perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO adalah melibatkan kesemua 14 orang perwakilan setiap Bahagian untuk menghadiri dengan tidak diadakan perhimpunan secara hibrid.
“Kesemua lima orang Perwakilan bagi setiap sayap juga akan menghadiri Perhimpunan Agung masing-masing pada kali ini. Walaupun demikian, SOP tetap akan dipenuhi daripada segi penjarakan, pelitup muka, penggunaan Aplikasi Mysejahtera, sanitizer dan lain-lain,” katanya.
Berikut adalah jadual perjalanan Perhimpunan Agung UMNO 2021:
16 Mac 2022 (Rabu)
Perasmian Perhimpunan Agung Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri oleh YB Dato’ Seri Utama Timbalan Presiden UMNO
17 Mac 2022 (Khamis)
Perhimpunan Agung Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO berlangsung
18 Mac 2022 (Jumaat)
Ucapan Dasar Presiden dan Perasmian Perhimpunan Agung UMNO oleh YB Dato’ Seri Presiden UMNO
Perhimpunan Agung UMNO bermula
19 Mac 2022 (Sabtu)
Perhimpunan Agung UMNO hari kedua.
Dilaporkan, pada 25 Dis lepas, Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang dijadual berlangsung pada 13 hingga 15 Jan ditangguhkan susulan bencana banjir yang melanda beberapa negeri. Ekoran itu tumpuan pimpinan UMNO dan anggota akar umbi adalh membantu mangsa-mangsa banjir.– UMNO Online