KUALA LUMPUR, 27 Jan – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terima dakwaan sedang berusaha mengembalikan kerajaan UMNO/Barisan Nasional (BN) kerana itulah tanggungjawab serta fungsi Presiden UMNO dan Pengerusi BN.
Tegasnya, tidak sesekali beliau akan membenarkan parti milik rakyat, demi rakyat, untuk rakyat ini hilang jati dirinya.
“Apatah membiarkan ia melukut di tepi gantang tidak berdaya dan tidak berguna, tidak mampu membantu, malah tidak lagi dihirau gara-gara kehilangan kuasa.
“Insya-Allah selagi ada kudrat kurniaan Tuhan, perjuangan untuk kebangkitan mutlak UMNO/BN bersama seluruh pimpinan dan ahli akar umbi akan terus berlaku,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dalam satu perkongsian di Facebook.
Seterusnya tambah Ahmad Zahid lagi, sebagai hambaNya kepada Allah SWT juga dipanjatkan doa dan pertolongan selepas segala daya upaya.
“UMNO/BN kembali sebagai teras pentadbiran negara.
“Bukan kerana kes mahkamah, tetapi atas amanah yang diberikan serta demi kesejahteraan dan kemakmuran dikembalikan di bumi bertuah ini,” ujarnya lagi.
Begitu juga ulasnya mengenai dakwaan konon beliau berusaha mengembalikan kerajaan UMNO/BN disebabkan kes mahkamah adalah satu-satunya propaganda politik yang masih segelintir pihak miliki.
“Propaganda saya mahu UMNO/BN bekerjasama dengan parti itu sudah berakhir. Begitu juga propaganda menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri terdahulu kerana tamakkan kuasa.
“Biar saya terangkan apa yang saya pernah berulang kali nyatakan sejak awal bahawa sesungguhnya saya bertekad untuk membersihkan nama saya di mahkamah,” katanya.
Jelasnya, biarpun ramai berpandangan ia adalah pendakwaan politik dan terpilih selepas UMNO/BN tewas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) angkara fitnah dan pembohongan, beranilah atas nama kebenaran.
“Jika saya dan beberapa lagi pemimpin UMNO tiada ketabahan dan keazaman itu, pasti jauh berbeza keadaan kami ketika ini lebih selesa namun tunduk, layu dan lesu.
“Dalam keadaan pimpinan UMNO/BN seperti itu, mampukah UMNO/BN bangkit dalam tempoh yang singkat seperti yang kita saksikan pada waktu ini?
“Mungkin ini jua ketentuan Ilahi. Asbab untuk perjuangan demi agama, bangsa, tanah air serta kebenaran semakin bersemarak dalam roh dan jasad parti ini,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE