KUALA LUMPUR, 5 Feb – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata terdapat tiga isu utama rakyat yang perlu diberi perhatian segera oleh kerajaan.
Katanya dalam satu perkongsian di Facebook, tiga perkara tersebut iaitu mengenai kelewatan bantuan khas COVID-19, bantuan mangsa banjir dan pengeluaran wang RM10,000 secara ‘one-off’ dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Perkara tersebut juga ujaranya telah dibawa kepada pengetahuan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Berikut merupakan tiga maklum balas yang diterima oleh Dr Asyraf sendiri dan juga talian hotline Pemuda UMNO:
1. Kelewatan Bantuan Khas COVID yang diuruskan NADMA (RM100 sehari untuk maksimum RM1,400 atau 14 hari) yang hilang punca pendapatan akibat kuarantin COVID-19 atau menerima rawatan pesakit COVID-19.
2. Kelewatan Pelbagai Bantuan khas yang dijanjikan kerajaan kepada mangsa banjir baru-baru ini (seiring juga dengan laporan media yang melaporkan 30,000 mangsa banjir di Selangor masih belum terima bantuan daripada peruntukan yang diuruskan Kerajaan Negeri Selangor).
3. Harapan dan Tuntutan Rakyat yang benar-benar susah dan amat terdesak mengharapkan pengeluaran kali terakhir wang simpanan mereka daripada KWSP RM10,000 ‘one-off’. – UMNO ONLINE