KUALA LUMPUR, 7 Feb – Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata jentera wanita kini bersedia di tahap tertinggi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ujar Ketua Wanita UMNO itu, tanggungjawab yang diberikan oleh parti akan dilaksanakan oleh mereka dengan sebaiknya demi masa depan rakyat negeri itu.
“Kehangatan sudah terasa! Kita sudah bersedia dan bersemangat tinggi untuk memikul tugas dan tanggungjawab ini. Semuanya adalah untuk menjadikan Johor ini yang terbaik untuk masa depan semua.
“Insya-Allah, dengan semangat dan gelombang biru di Pagoh semalam, menunjukkan kami sudah bersedia,” katanya yang juga Menteri Pengajian Tinggi di dalam satu hantaran di Facebook.
Malam tadi, di Dewan Seri Pekembar Pagoh, jentera BN bagi Zon Utara yang merangkumi Bahagian Segamat, Sekijang, Labis, Pagoh, Ledang, Muar dan Bakri telah dilancarkan oleh Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut dihadiri barisan kepimpinan dari pelbagai peringkat dan juga pendokong parti.
Jumaat lalu, jentera BN bagi Zon Barat dilancarkan yang melibatkan Bahagian Iskandar Puteri, Pulai, Tanjung Piai dan Pontian di Nusajaya, Johor Bahru.
Untuk rekod, PRN Johor diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 22 Jan lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya dijangka mengumumkan tarikh pilihan raya pada 9 Feb ini. – UMNO ONLINE