SUNGAI PETANI, 12 Feb – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan bahawa UMNO tidak boleh lagi menjadi sebuah parti tempel-tempelan.
Sebaliknya katanya, UMNO perlu menjadi parti dominan yang berkuasa menerusi kemenangan secara majoriti besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
“UMNO mesti jadi parti dominan, UMNO boleh menang dalam pilihan raya, kita berkuasa, baru kita boleh bercakap kepada orang, kalau tidak kita hanya sembang sahaja, akhirnya kita bergaduh sesama kita.
“Tidak guna kalau kita tidak menang, kita tidak menjadi kerajaan, kita hanya menjadi parti tempel-tempelan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penutup Bengkel Pengukuhan Kepimpinan dan Jentera Jalinan Rakyat (JR) Wanita UMNO Negeri Kedah, di sini petang semalam.
Jelas Mahdzir, ahli-ahli UMNO perlu mengambil pengajaran yang berlaku terhadap Parti Golkar di Indonesia yang kini menjadi parti tempelan selepas tewas dalam pilihan raya pada tahun 1998.
“Mereka jatuh lebih awal daripada UMNO, mereka jatuh pada tahun 1998, hari ini 2022, Golkar telah bertanding lima kali dalam pilihan raya Indonesia, Golkar pernah jadi Presiden iaitu Bung Karno dari Golkar, Suharto dari Golkar, Habibi dari Golkar.
“Selepas itu Presiden-presiden yang datang bukan lagi dari Golkar termasuk Pak Jokowi yang jadi Presiden Indonesia sekarang dari Parti PDI-Perjuangan. Di mana Golkar yang seumur dengan UMNO, Golkar telah menjadi parti tempel-tempelan kepada kerajaan yang ada.”
Tambah Mahdzir, UMNO perlu senada dan sederap di semua peringkat untuk mencapai optik menang pada PRU15 nanti tanpa dimomokkan dengan cerita wujudnya beberapa puak di peringkat kepimpinan tertinggi parti itu.
“Saya duduk bersama Datuk Seri Zahid, saya duduk dengan Datuk Seri Ismail Sabri, Perdana Menteri, Datuk Seri Mat Hassan (Mohamad Hasan), Khaled Nordin, kami duduk lima orang, kita tak nak pun timbul soal nak pecah-belahkan UMNO ini.
“Orang lain seronok di luar sana kalau boleh pecah belahkan UMNO, puak ini satu kumpulan, puak itu satu kumpulan, mereka boleh cari makan dengan kalau kita berpecah-belah. Sebab itu saya katakan pilihan raya lepas ini kita kena ada satu kumpulan sahaja dan kumpulan itu namanya UMNO.”
Sebelum itu kata Mahdzir, ramai yang beranggapan bahawa UMNO akan kekal menjadi pembangkang sehingga tahun 2023 selepas tewas pada PRU14 dan akan berdepan PRU15 sebagai pembangkang.
Namun katanya, takdir Allah telah mengubah senario politik negara sehingga membolehkan UMNO kembali berkuasa dan bakal berdepan dengan PRU15 bukan sebagai pembangkang.
Justeru tegas Mahdzir, UMNO tidak boleh bermegah-megah dan sombong dengan kuasa yang dipegang kini kerana ia bukan dengan angka majoriti.
“Kita kena menang pilihan raya kali ini kalau nak terus jadi kerajaan, kita kena cukup kerusi untuk bentuk kerajaan, kalau tidak cukup kerusi kita akan kembali jadi pembangkang.”
Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru agar ahli-ahli UMNO tidak hilang fokus dan terus memperkuatkan parti serta menilai kemampuan parti dalam menghadapi PRU15. – UMNO Online