LABIS, 19 Feb. – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata parti-parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak perlu membuat kenyataan terlalu beremosi dan ekstrem.
Katanya, mereka juga disarankan untuk tidak memburuk-burukkan antara satu sama lain.
“Sebenarnya tiap parti politik bertanding, masing-masing ada strategi, masing-masing ada proses media nak dikeluarkan ada setengah daripada mereka terlampau emosional, ada yg terlampau emosi, ada yang terlampau optimistik nak bertanding.
“Jadi nasihat saya pertamanya tak payah lah terlampau ekstrem mengeluarkan kenyataan yang terlampau ekstrem… zaman sekarang ini proses peradaban bangsa dah tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pekebun Kecil Makmur Peringkat RISDA Negeri Johor semalam.
Turut hadir, Pengerusi RISDA Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif, Ketua Pengarah RISDA, Datuk Abdullah Zainal dan Ketua UMNO Bahagian Labis, Datuk Azahar Ibrahim.
Jelas Mahdzir, parti yang bertanding juga perlu bijak menggunakan ruang yang ada terutama menerusi medium media massa dan media sosial.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar menambah, jentera-jentera parti juga boleh mendapatkan kepercayaan pengundi tanpa perlu menghina atau menabur fitnah terhadap pihak lawan.
Ini kerana ujarnya, kenyataan mahupun tindakan yang terlalu beremosi hanya merugikan parti kerana rakyat hari ini semakin bijak membuat penilaian.
“Proses pendidikan yang dibina oleh Barisan Nasional (BN) 60 tahun, semua dah dapat masuk universiti, dah ada pendidikan, jadi dalam ruang lingkup masyarakat ni middle class upper class dah ramai, civil society dah banyak, jadi tak payah bermaki hamun dalam media, cakap sahaja benda apa kita nak buat, bagilah rakyat buat pilihan,” ujar beliau.
Sementara itu, ditanya mengenai pengagihan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara parti komponen BN jelasnya, perkara itu sudah di peringkat akhir.
Katanya, UMNO dan BN akan menggunakan kaedah dan ramuan berbeza pada PRN Johor berbanding penglibatan pada PRN Melaka November lalu. – UMNO Online