KUALA LUMPUR, 19 Feb – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berpandangan penyertaan bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke dalam UMNO akan memperkuatkan akar umbi parti keramat ini.
Katanya, meskipun Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini bertindak merendah-rendahkan UMNO namun hakikatnya parti itu semakin tidak menentu meskipun bakal menghampiri Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Ketika Muhyiddin ‘mempoodahkan’ UMNO baru-baru ini, Bersatu di Pasir Gudang pula yang semakin goyah, rapuh dan lemah. Saya menyaksikan Ketua Cawangan Bersatu Tasek 64, Mohd Nor Bin Hamzah bersama ahli jawatankuasa dan beberapa ahlinya keluar dari parti.
“Saya diserahkan 343 permohonan menjadi ahli UMNO Pasir Gudang yang sudah pastinya akan memperkukuh dan menambah kekuatan UMNO,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Jelas Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang itu lagi keputusan mereka untuk menyertai parti ini juga adalah kerana kepercayaan bahawa hanya UMNO sahaja yang berupaya dalam membela nasib rakyat.
“Keputusan ini bersandarkan keyakinan bahawa hanya melalui UMNO sahaja mampu membela kepentingan orang Melayu dan memberi kestabilan kepada negeri serta negara.
“Mereka bertekad untuk membantu kemenangan Barisan Nasional di PRN Johor kali ini dan membuktikan bahawa Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional adalah parti gagal,” ujar beliau. – UMNO Online