KUALA LUMPUR, 22 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap hentikanlah politik hasutan dan kebencian yang tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian rentetan pelbagai tohmahan yang dilemparkan kepadanya.
“Lumrah setiap insan tanpa mengira siapa akan mempertahankan diri apabila cuba dizalimi, maka apakah saya jua sebagai insan tidak berhak mempertahankan diri apabila cuba dizalimi sekali lagi atau hanya sekadar mendiamkan diri sahaja?
“Saya berdiam diri pun orang kata, saya pertahankan diri pun orang kata. Jadi saya pilih untuk pertahankan diri dengan tidak berdiam diri,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya, hari ini.
Dalam hal ini beliau menegaskan tidak akan sesekali melutut dan akan meneruskan perjuangan.
“Insya-Allah walau apa tohmahan mereka lemparkan, Pengerusi BN tidak akan sesekali melutut di hadapan mereka.
“Meski berdentum guruh di langit, tidak hancur bumi sebelum kiamat. Banyak ujian menimpa, namun perjuangan tetap saya teruskan.
“Jadi apabila saya menyeru kepada bersumpah laknat kerana itu cara yang segera untuk mempertahankan diri daripada pembohongan konon membawa lambakan fail untuk meminta kes digugurkan.”
Sesungguhnya ujarnya, beliau bukanlah taksub kepada sumpah laknat, namun tuduhan itu keterlaluan dan memaksa melakukannya.
Soalnya, dalam keadaan PRN Johor kian hampir dan Pengerusi BN ditohmah sebegitu rupa apakah banyak pilihan yang ada?
“Jika membawanya ke mahkamah pasti panjang prosesnya dan hanya terbukti sesudah PRN Johor telah lama berakhir.
“Bersumpah bukan perkara main-main jika implikasinya mungkin tidak di dunia, tetapi diakhirat nanti.
“Itulah destinasi sebenar kehidupan setiap insan sedangkan dunia hanyalah tempat tumpangan sementara semata-mata.”
Soalnya lagi, kalau dia bercakap benar, kenapa takut untuk bersumpah laknat?
“Mungkin dia sebagai anak ulamak sudah tahu akibatnya jika dia laksanakan sumpah laknat dan apakah tindakan saya cuba mempertahankan diri dengan menyeru kepada sumpah laknat memalukan?
“Mereka yang sepatutnya dianggap memalukan adalah yang sanggup membuat tuduhan fitnah yang bersifat zalim demi kepentingan politik.”
Katanya, hari ini pihak yang menuduh enggan menyahut seruan bersumpah laknat sebagai membuktikan keyakinan apa yang dikata.
“Apapun saya dengan hati yang ikhlas dan terbuka memaafkan insan-insan yang cuba menzalimi saya sekali lagi.
“Begitu juga kepada penyokong-penyokong dan labu-labunya yang terpedaya menjadi lidah serta jari penyebar fitnah dan pembohongan.
“Semoga Tuhan mengampuni apa sahaja kesilapan kita dan kestabilan serta kemakmuran terpancar di negeri Johor Darul Takzim pada 12 Mac ini, insya-Allah
Sebelum itu beliau menerangkan sekali lagi mengenai tohmahan dilemparkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Mahiaddin Md. Yassin iaitu;
Pertama, saya tidak pernah bertemu bekas Perdana Menteri itu meminta saya dibebaskan seperti yang beliau dakwa.
Kedua, sejak awal saya yakin tidak bersalah terhadap pendakwaan dikenakan oleh PH sejurus mereka menguasai kerajaan.
Saya menghadapi pendakwaan dengan cekal dan tabah kerana percaya kebatilan tidak sesekali mampu mengatasi kebenaran, malah, saya yakin barisan guaman saya akan memenangi kes, namun dengan syarat tiada tangan-tangan ghaib cuba menidakkan keadilan buat saya.
Ketiga, keputusan PRN Johor tidak beri kesan kepada mahkamah, sebaliknya beri kesan kepada mereka yang pernah menipu rakyat, memberi kesan kepada mereka yang mengkhianati perjuangan BN kerana takut didakwa atau terpesona dengan tawaran. – UMNO Online