KUALA LUMPUR, 22 Feb – Hari ini ialah ulang tahun ke-31 penubuhan UMNO Negeri Sabah.
Sehubungan itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengimbas semula sempena sambutan yang dibuat tahun lalu dengan berkongsi video khas yang pernah dikongsikan tahun lepas buat barisan kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sabah.
“Inilah barisan 25 Ketua-Ketua Pemuda UMNO daripada Bahagian-Bahagian seluruh Sabah yang kekal setia mempertahankan ‘Bahtera UMNO’ di saat segerombolan kepimpinan besar UMNO Sabah yang diketuai bekas Pengerusi UMNO Sabah sendiri Datuk Hadjiji (kini Ketua Menteri) dan 22 daripada 25 Ketua Bahagian melompat meninggalkan ‘Bahtera UMNO’ untuk bersama PPBM setelah PRU-14.
“Masih segar di ingatan waktu itu, saya terpaksa beberapa kali ke Kota Kinabalu untuk meyakinkan sahabat-sahabat Pemuda untuk kekal setia biarlah apapun berlaku walau terpaksa menjadi generasi terakhir mengibarkan bendera UMNO di Sabah,” katanya dalam hantaran di laman facebooknya.
Ujarnya, beliau tidak boleh lupa bahkan setiap kali mengingati peristiwa ini pasti rasa sebak dan bangga menyaksikan semangat mereka yang berjuang tanpa langsung memperkirakan soal material mahupun kemewahan duniawi.
“Terngiang-ngiang lagi kata-kata arwah Almarhum Ketua Pemuda UMNO Beluran Mohd Fazli Zikiri kepada saya ketika itu, ‘Jangan bimbang Doktor, saya dan rakan-rakan pasti akan pertahankan parti ini biarpun kami menjadi orang terakhir yang mengibarkan panji-panji UMNO di Sabah ini.
“Moga Allah rahmati roh Almarhum yang amat saya rasai kehilangannya dan seluruh kepimpinan UMNO Sabah yang teguh bersama perjuangan Pemuda UMNO untuk terus bangkit kembali.” – UMNO Online