JOHOR BAHRU, 27 Feb – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengajak para pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor agar tidak mensia-siakan undi dalam membentuk kerajaan pada 12 Mac nanti.
Tegasnya, hanya BN yang mampu menawarkan kestabilan masa depan buat bangsa Johor.
“Buat pengundi-pengundi Johor, jangan persia-persiakan undi anda dengan mengundi parti-parti yang pastinya tidak dapat membentuk Kerajaan secara bersendirian kerana masing-masing bertanding hanya sekadar untuk bertembung sesama sendiri dan bertanding atas sentimen amarah,” katanya.
Terdahulu beliau bersama-sama mengiringi calon BN bagi DUN Larkin Mohd Hari Mad Shah yang telah pun sah menjadi calon no 6 dalam pertembungan enam penjuru iaitu BN, Muda, PKR, PN, Pejuang dan Bebas.
“Menariknya di Dun Larkin ini juga parti Muda bertembung dengan PKR,” katanya.
Pada PRU-14 lepas, DUN Larkin dimenangi Mohd. Izhar Ahmad dari PPBM dengan majoriti 8,590 undi menewaskan Datuk Yahya Ja’far (BN) dan Zakiah Tukirin daripada Pas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor,dan pengundian awal pada 8 Mac. – UMNO Online